KBS buktikan komitmen bantu bangun bakat atlet sukan negara
- Suara Keadilan
- Apr 9
- 1 min read

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited menyokong pembangunan bakat sukan di negara ini.
Menterinya Hannah Yeoh berkata, ia terbukti apabila kementerian itu meluluskan 54 program berjumlah RM1,649,195 di bawah Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) tahun ini.
"Ini adalah bukti komitmen berterusan kami terhadap bakat sukan negara," katanya menerusi satu hantaran di Facebook susulan pertemuan dengan atlet wanita lumba litar berusia 15 tahun, Sophia Zara Mustaffa Kamal.
Mengulas lanjut Hannah menggalakkan badan, atlet dan pasukan sukan negara yang layak untuk memohon KWASN yang bertujuan menyokong penyertaan dalam acara kebangsaan dan antarabangsa.
KWASN jelasnya direka untuk membantu atlet bersaing dalam pertandingan antarabangsa dan meningkatkan kedudukan mereka .
Ia terbuka terbuka kepada atlet individu, pasukan sukan dan penganjur, termasuk atlet bebas yang tidak bergabung dengan badan sukan.
"Tahun lalu, setelah mendengar rintihan atlet persendirian di sesi town hall, saya segera meminda SOP Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) 2023 dan kini, mulai 2024, geran KWASN bukan lagi eksklusif untuk persatuan sukan.
"Terbuka buat atlet individu dan pasukan persendirian. Ini merupakan satu langkah besar untuk pastikan tiada bakat terabai sama ada mereka bernaung di bawah badan formal atau berdikari," jelasnya.
KWASN menawarkan sehingga RM500,000 untuk acara antarabangsa dan RM200,000 untuk acara kebangsaan.
Untuk layak, acara mesti diluluskan oleh persatuan sukan kebangsaan.
Maklumat lanjut mengenai inisiatif itu boleh didapati di www.kbs.gov.my/utama-kwasn.html.
Comments