Kayuh basikal klasik bersolidariti kepada umat Islam Gaza
- Suara Keadilan
- 15 hours ago
- 1 min read

“Kita tidak seharusnya memandang isu Palestin secara bermusim, sebaliknya ia perlu diberi perhatian secara berterusan sebagai tanda solidariti kita buat mereka dengan semangat #IhsanUntukPalestin.”
Demikian dinyatakan oleh Senator Dr Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sewaktu Program Kayuhan Aidilfitri dan Solidariti Palestin #IhsanUntukPalestin yang bertemakan basikal klasik.
Menurut Dr Zulkifli, puluhan ribu rakyat Gaza telah syahid malah lebih ramai yang tercedera dan memerlukan bantuan perubatan dengan segera yang perlu dibantu oleh rakyat Malaysia.
Oleh itu beliau tampil dalam program anjuran bersama Geng Surau Putrajaya, Persatuan Basikal Klasik Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Masjid Mahmoodiah bagi menyatakan sokongan kepada perjuangan Palestin
Turut serta selebriti kemanusiaan, Faizal Tahir.
Para peserta pula tampil berbusana songket, berbaju Melayu, kurung serta kebaya sambil mengayuh basikal.

Kayuhan dari Masjid Mahmoodiah Precint 18 ke Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra, Putrajaya ini juga sebagai sebahagian kempen kesedaran serta merapatkan ukhwah dalam kalangan masyarakat untuk menyemarakkan semangat solidariti kepada Palestin.
Dr Zulkifli juga meminta rakyat Malaysia melakukan solat hajat di mana sahaja mereka berada.
"Saya menyeru semua umat Islam untuk bersama-sama kami membaca Yaasin dan Solat Hajat untuk Gaza, atau anda boleh lakukan di mana sahaja anda berada - baik di rumah mahupun surau serta masjid berdekatan. Yang penting, kita tunaikan Solat Hajat tanda solidariti buat saudara kita di Gaza," katanya.
Terdahulu, para peserta menghadiri Kuliah Subuh Khas bertajuk ‘Ihsan Untuk Palestin’ yang disampaikan oleh Ustaz Kapten Maritim Haji Nik Kamaruddin Haji Yunoh.
Sebanyak 8 siri #SolatHajatGaza dan Bacaan Yaasin telah dianjurkan di sekitar Putrajaya dan seluruh negara dengan kerjasama rentas kementerian serta pelbagai pihak sebelum ini.
Comments