
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyelar insiden seorang remaja bukan Islam dikasari kerana makan di bulan Ramadan.
Beliau berkata, Islam mengajar umatnya untuk bersikap sabar, berakhlak mulia dan menghormati hak setiap individu, terutama dalam masyarakat berbilang kaum.
Justeru tindakan itu tegasnya, sama sekali tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar.
"Adalah penting untuk umat Islam mengamalkan prinsip tabayun iaitu menyelidik sebelum bertindak dalam menjaga keharmonian masyarakat.
"Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal emosi dan menjaga hubungan sesama manusia," katanya menerusi catatan di laman sosial.
Terdahulu, tular dalam media sosial insiden seorang lelaki menampar remaja berbangsa Cina berkali-kali kerana makan di bulan Ramadan yang berlaku di Johor yang kemudian mengundang kritikan ramai.
Turut mengkritik tindakan tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid yang menyifatkan tindakan lelaki itu sebagai melulu.
"Islam suruh kita bertabayun. Jangan tersalah hukum orang dan kita tak berhak menghukum," katanya.
Komentáře