Oleh: Akmal Manaf
Karnival Keluarga Inderapura 2024 yang telah berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Seri Inderapura, Kuantan, baru baru ini menjadi medan merapatkan hubungan kaum dan jiran di kawasan setempat.
Menurut satu kenyataan, komuniti kejiranan yang berada dalam Parlimen Kuantan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura itu mempunyai sekitar 1,500 buah rumah.
"Karnival ini digerakkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) peneraju Persatuan Kebajikan, Keselamatan dan Rekreasi (PEKERTI) dengan kerjasama APPGM-SDG Parlimen Malaysia serta NGO tempatan seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Persatuan Penduduk.
"Ia turut melibatkan Jawatankuasa Masjid Ittifaqiyyah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Rendang," menurut kenyataan itu.
Perasmian penutup karnival berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Kuantan Zon G, iaitu Fakhrul Anuar Zulkawi yang juga merupakan Penyelaras DUN KEADILAN Inderapura.
Dalam ucapan penutup, Fakhrul turut memberikan pesanan bahawa pentingnya untuk memperkasakan lagi kerjasama antara jiran yang terdiri daripada rencam kaum.
Sementara itu, Pengerusi PEKERTI, Azmi Ahmad pula memberitahu bahawa program sedemikian mempunyai matlamat untuk mengeratkan hubungan sesama kejiranan pelbagai kaum di taman berkenaan menerusi aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Katanya, antara aktiviti yang dijalankan adalah ceramah kepenggunaan, pemeriksaan kesihatan, sukaneka, pertandingan gubahan bunga dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak pra-sekolah.
Comments