Pembangunan Bandaraya Kuching tidak menyebelahi golongan marhaen apabila Kampung Kudei Lama, beberapa kilometer dari pusat bandar masih bergelut dengan penempatan daif, dengan titi menghubung rumah ke rumah reput dan menyebabkan ada penduduk terjatuh ke dalam lumpur.
Menurut calon KEADILAN DUN Satok, Datuk Dr Ir Nor Irwan Amat yang melawat ke kampung Kudei semalam, penempatan seperti itu tidak sewajarnya disisih dari arus pembangunan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak yang memerintah selama 58 tahun.
"Selepas berapa puluh tahun merdeka kampung di tengah bandar Satok ini masih ada penempatan semacam ini.
"Rakyat masih hidup tanpa keselesaan. Dari segi peluang perniagaan pun susah. Orang nak pergi kerja, anak anak nak pergi sekolah, betapa susahnya keadaan rakyat di kampung Kudei yang sepatutnya menerima limpahan ekonomi, limpahan nikmat hidup di bandar.
"Kita saksikan rumah di belakang itu tetapi jalannya amat menakutkan. Baru baru ini ada orang terjatuh di sana (kerana titi reput)," katanya kepada Suara Keadilan.
Kampung Kudei Lama merupakan antara penempatan terawal warga yang berhijrah ke Kuching. Kampung tersebut wujud sejak 1938
Kerajaan British pada ketika itu menyukat dan membuka lot tanah untuk rumah kediaman bagi menampung pertambahan penduduk sekitar kawasan Kuching, terutama perkampungan Melayu seperti Kampung Masjid, Kampung Sungai Lajim, Kampung Temedak dan lain lain.
Comments