Inisiatif Kampung Angkat Madani telah memberi impak positif kepada kualiti kehidupan masyarakat luar bandar supaya menerima manfaat serupa dengan kawasan bandar.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, manfaat itu turut dinikmati komuniti Kampung Orang Asli Kelinsing di Sepang, Selangor yang merupakan kampung angkat bagi kementeriannya.
"Semasa sesi awal tinjauan oleh Kementerian Komunikasi, kampung ini tidak mempunyai dewan yang sesuai bagi penduduk melaksanakan program pelancongan budaya dan tradisi serta aktiviti komuniti.
"Mengambil kira keadaan semasa di kampung dan matlamat keutamaan pelaksanaan program ini, Kementerian Komunikasi telah menyiapkan lima skop projek naik taraf infrastruktur.
"Ia merangkumi pembinaan semula balai budaya; pembinaan semula kantin; pembinaan semula tandas awam; pembinaan baharu ruang niaga dan menaik taraf infrastruktur serta pelaksanaan program keceriaan di sekitar kampung," katanya dipetik.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani Kementerian Komunikasi di kampung tersebut pada Sabtu yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Sementara itu dalam ucapannya Fahmi turut memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut bersetuju untuk membangunkan sebuah Pusat Sebaran Maklumat Nasional, atau lebih dikenali sebagai NADI.
Justeru beliau berharap ia bakal menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi serta meningkatkan literasi digital dalam kalangan penduduk Kampung Orang Asli Kelinsing khususnya dan masyarakat sekitar amnya, melalui perkhidmatan yang disediakan.
"NADI berperanan untuk meningkatkan potensi dan kesejahteraan komuniti melalui program yang holistik dan mampan untuk merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi komuniti.
"Ia melalui lima teras perkhidmatan pintar iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran serta sebagai pusat untuk menyebarluaskan maklumat berkenaan inisiatif kerajaan yang terkini dan tepat," katanya.
Comments