Kesepaduan KEADILAN akan mampu mencipta kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dengan kombinasi Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Rafizi Ramli.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jangan kerana Pemilihan KEADILAN 2022 menyebabkan perpaduan parti dan silatulrahim antara beliau dan Rafizi tercarik.
Beliau berkata, hubungannya dengan Rafizi akrab sejak anak muda itu menjadi Exco Angkatan Muda KEADILAN dan beliau pernah menjadi penulis ucapannya pada satu ketika, sedekad lalu.
"Hubungan kami sangat akrab ibarat adik dan abang. Saya tidak akan izinkan proses pemilihan dan hanya satu jawatan, mencarikkan hubungan saya dan Rafizi. Saya tak akan benarkan.
"Kalau ada nak lagakan silakan, itu tidak mengubah hormat dan sayang saya kepada Rafizi.
"Dia terpilih sebagai timbalan ada tugas besar. Anwar ada tugas lebih besar. Barisan baru juga akan memimpin tanggungjawab besar.
"Kalau kita gembeling bersama, yakinlah pilihan raya ini akan menjadi milik kita," katanya dalam sesi ucapan penggulungan Kongres Nasional KEADILAN.
Saifudin juga menegur anggota parti yang mengkritik Presiden parti secara kurang adab.
Katanya Presiden boleh ditegur tetapi dengan penuh hikmah dan sopan.
"Taat kepada pemimpin satu sifat terpuji, orang Islam dalam solat ada imam, imam takbir kita ikut.
"Sekali kita tidak ikut, solat terbatal. Dalam solat ada cara tegur imam. Imam rukuk kita rukuk dan ini bukan bodek imam. Itu taat dan patuh
"Imam baca salah dalam solat tegur dengan subhanallah. Ada cara, dalam sembangyang boleh tegur. Apatah lagi Datuk Seri Anwar. Boleh tegur.
"Dalam mesyuarat, semua yang ada dalam MPP boleh jadi saksi, berapa banyak pandangannya ditolak. Sampai dia merayu, ini pandangan saya, ada lagi yang beri pandangan berbeza.
"Untuk menyatakan Datuk seri Anwar tidak boleh disanggah itu pandangan yang tidak tepat. Sosok ini sangat terbuka untuk kita serang.
Tegur ibu bapa, tegur guru boleh, akhlak dan adab perlu ada. Bukan namanya Anwar dari segi umur tetapi dia lebih tua daripada kita," katanya.
Setiausaha Agung KEADILAN paling lama itu juga menyatakan parti telah pun menerima notis daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) meminta penjelasan mengenai laporan yang dibuat berhubung perjalanan pemilihan parti.
"Parti telah menerima surat notis daripada pendaftar pertubuhan (ROS) untuk Setiausaha Agung mengemukakan penjelasan terhadap sejumlah aduan yang sampai kepada ROS berkenaan pemilihan yang diadakan.
"Sejurus mendapat surat itu perkara pertama yang terfikir ialah kkita perlu bersedia mengadapi keadaan paling buruk seperti DAP dan MIC.
"Dengan dokongan lama dan baru untuk waktu terakhir ini, saya Saifuddin akan mempertahankan parti dengan sehabis daya dari sebarang tindakan yang akan datang dari ROS," katanya.
Penutup penggulungannya, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu memberi amaran kepada yang memfitnah kononnya yang melantik Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) adalah Presiden atau Setiausaha Agung.
"Siapa lantik JPP? JPP dilabntik oleh ahli Majlis Pimpinan Pusat berasaskan perlembagaan parti. MPP boleh melantik JPP dan mereka melantik Dr Zaleha. Dr Zaleha mencadangkan jawatankuasa. MPP terima dan mereka bekerja.
"Pemilihan berjalan dan kemudian ada bantahan, ada 1,800 bantahan. Siapa lantik auditor, JPP, bukan Setiausaha Agung. Apa guna menabur fitnah memecah belahkan kita semua," katanya lagi.
Comments