Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan akan mengkaji keperluan melaksanakan konsep ‘kedutaan data’ (data embassy) iaitu sebuah pusat pemprosesan data yang dikendalikan oleh syarikat asing di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, konsep itu membabitkan data sesebuah syarikat dari negara luar dikawal selia oleh kedutaan mereka, namun perkara itu baharu dibangkitkan oleh pihak industri.
Hal itu antara butiran yang dibangkitkan dalam perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa syarikat gergasi teknologi seperti Google dan Microsoft di San Francisco, Amerika Syarikat baru-baru ini.
"Kita mulakan kajian kerana ada beberapa pihak industri berkaitan memberi pandangan mengenai konsep data sovereignty atau kedaulatan data.
"Apatah lagi dengan Malaysia menjadi destinasi idaman sebagai pusat pemprosesan data," kata Fahmi kepada pemberita, lapor Bernama.
Terdahulu Fahmi bersama timbalannya Teo Nie Ching menghadiri program Digital Transformation Leader’s CxO Summit: Intelligent Digital Transformation in the 5G Era di Kuala Lumpur hari ini.
Fahmi menjelaskan setakat ini tiada sebarang keputusan daripada kerajaan kerana ia memerlukan kajian menyeluruh dengan mengambil kira undang-undang kedaulatan negara dan keselamatan data rakyat negara ini.
"Perlu kita imbangkan dengan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber yang sedang digubal pada waktu ini serta pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi dan Akta Omnibus Perlindungan Data yang akan dibawa ke Parlimen, InshaAllah pada suku pertama tahun depan," katanya lagi.
Comments