top of page

Kaji beri bantuan sosial, elak rakyat terbeban polisi penyasaran subsidi



Kerajaan sedang mengkaji keperluan mengagihkan bantuan sosial bagi memastikan rakyat tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga barangan apabila penyasaran semula subsidi dilaksanakan, demikian kata Kementerian Ekonomi.


Kementerian berkenaan berkata pemberian subsidi termasuk melibatkan petrol RON95 sedang dinilai semula dengan dasar penyasaran bantuan melibatkan bahan api itu diperincikan dari semua aspek.


"Pelaksanaan subsidi bersasar RON95 ini akan diperincikan dari semua aspek supaya inisiatif ini dapat berjalan dengan lancar dan meningkatkan keberkesanan pengagihan bantuan kepada rakyat


"Bagaimanapun, sebarang keputusan yang diambil akan disampaikan dengan jelas kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan terhadap perancangan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya ketika menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.


Bagaimanapun, kementerian itu berkata tumpuan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan.


"Sesi libat urus dengan pihak berkepentingan akan diadakan bagi memastikan setiap aspek diambil kira termasuk garis masa pelaksanaan serta mekanisme yang bersesuaian bagi membolehkan rakyat yang terkesan, menerima manfaat yang sewajarnya.


"Pelbagai cadangan sedang dipertimbangkan oleh kerajaan berdasarkan use case yang dijalankan menggunakan data PADU (Pangkalan Data Utama)," katanya.

Kementerian Ekonomi berkata kerajaan juga telah merancang beberapa inisiatif bagi memastikan kuasa beli rakyat dapat dikekalkan.


"Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut mempergiatkan usaha untuk menangani kos sara hidup supaya kuasa beli dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas," ujarnya.


Kementerian Ekonomi menjelaskan kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang besar dalam belanjawan setiap tahun bagi menampung subsidi yang terus meningkat dari tahun ke tahun.


Jelasnya bagi tempoh dari 2015 sehingga tahun lalu, jumlah subsidi dan bantuan sosial yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM294.5 bilion iaitu 10.9% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan bagi tempoh yang sama.


Peruntukan sejumlah RM58.1 bilion telah disediakan bagi tujuan subsidi dan bantuan sosial kepada rakyat dalam Belanjawan 2024, katanya.


Justeru itu, kementerian itu berkata, kerajaan telah mengenal pasti penyasaran semula subsidi sebagai satu inisiatif bagi memastikan keberkesanan pemberian bantuan serta menambah baik kedudukan fiskal negara.


Rasionalisasi subsidi juga merupakan antara 17 anjakan besar dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara.


"Inisiatif penyasaran subsidi bahan api yang telah dimulakan dengan subsidi diesel pada 10 Jun lalu dijangka dapat memperkukuh kedudukan fiskal negara dan mengurangkan ketirisan susulan aktiviti penyeludupan


"Pelaksanaannya juga dijangka mengurangkan impak kepada kos sara hidup rakyat dengan penyediaan mekanisme sokongan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0," jelas kementerian.


Melalui pendekatan tersebut, penyasaran subsidi diesel dijangka menjana penjimatan sebanyak RM4 bilion kepada kerajaan dan memberi ruang fiskal lebih luas kepada kerajaan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.


"Bagi mencapai objektif sama, kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95," katanya lagi.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page