top of page

Kaitkan kes lubang benam Masjid India: Pemuda Pas jangan peralat agama



Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa membidas Pemuda Pas dengan menggesa sayap parti itu berhenti memperalatkan agama dalam memberikan hujah setelah mengaitkan kejadian lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur baru-baru sebagai bala daripada Allah.


Perwakilan Pemuda Pas Machang, Mohd Sharif Mohd Azhari dalam muktamar sayap parti di Temerloh, Pahang mendakwa kejadian itu juga boleh terjadi susulan apa yang dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan pembinaan Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur.


"Saya tidak pasti Menteri Wilayah manakah yang dirujuk oleh perwakilan pemuda Pas Kawasan Machang Mohd Sharif Mohd Azhari yang menyentuh kejadian tanah jerlus Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dalam Muktamar Pas.


"Respon dari saya selaku Menteri Wilayah kini ialah menyarankan agar Pemuda Pas belajar menjadi pembangkang yang lebih konstruktif. Cukup-cukuplah memperalatkan agama dalam memberi hujahan," kata Zaliha dalam hantaran di Facebook hari ini.


Zaliha turut mempersoalkan hujah pemuda Pas yang mengaitkan kejadian lubang benam itu dengan kisah banjir besar pada zaman Nabi Nuh, sedangkan Kelantan yang diperintah parti itu turut mengalami kejadian banjir.


"Surah Al-Ankabut yang dipetik pemuda Pas tersebut itu pun penuh dengan kisah yang pelbagai, di antaranya kisah banjir besar di zaman Nabi Nuh AS. Justeru itu, adakah wajar untuk kita katakan banjir besar yang pernah melanda Kelantan suatu ketika dahulu adalah bala yang Allah turunkan atas kesalahan mungkin beberapa pimpinan Pas Kelantan?


"Jika musibah berlaku terhadap diri sendiri atau negeri yang diperintah Pas maka ia dikatakan ujian tetapi jika musibah di negeri selainnya dikatakan bala pula?


"Umum maklum bahawa Al Quran itu diturunkan sebagai petunjuk kepada manusia, bahkan penuh dengan peringatan yang boleh diambil dari kisah-kisah terdahulu yang dipaparkan, tetapi janganlah tafsiran itu sewenangnya mengikut selera sendiri," ujar Zaliha.


Beliau turut mengingatkan agar Pemuda Pas berhujah dengan sesuatu yang benar selain "kena rajin-rajinlah membaca dan cari fakta".


"…hujah yang dangkal hanya menunjukkan dangkalnya juga cara kita berfikir," katanya.


Mengulas dokumentari KLCC yang dibangkitkan, sehingga kini kes pembinaan menara berkembar itu telah menjadi suatu “kajian kes” bagaimana teknologi boleh digunakan untuk membina bangunan di atas “soft soil”, kata Zaliha.


"Maka ini adalah suatu pencapaian dalam dunia pembinaan dan ianya berlaku di Malaysia," katanya.


Zaliha mengingatkan bahawa penting bagi seorang pemimpin ketika berdepan dengan permasalahan yang timbul menggabungkan unsur reda dan pada masa yang sama menangani dan menyelesaikannya dengan tenang dan penuh kebijaksanaan.


"Mengambil kira pandangan mereka yang pakar dan kerjasama dari semua pihak harus juga dititikberatkan. Menuding jari dan mencari salah orang lain pastinya bukan cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah," katanya.


Media sebelum ini melaporkan Mohd Sharif Mohd Azhari, pada Muktamar Pas mendakwa kejadian itu mungkin berkait dengan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan serta pembinaan Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page