Parti pembangkang Melayu-Islam di negara ini diseru agar mengamalkan politik garis sederhana dan tidak melabelkan musuh politik bukan muslim sebagai kafir harbi.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu, Ahmad Nazri Mohd Yusoff berkata, ungkapan kafir habi ke atas DAP sebagaimana diucapkan penceramah Pas dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri kelmarin tidak sewajarnya berlaku di negara berbilang kaum.
Sehubungan itu, beliau menyokong penuh kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah yang menolak ungkapan melabel bukan muslim di Malaysia sebagai harbi kerana mereka taat setia kepada Perlembagaan dan patuh kepada undang undang sebagai warganegara.
Tegas beliau, rakyat yang matang seharusnya mengambil pengajaran daripada rusuhan anti-Islam yang berlaku di United Kingdom ketika ini kerana tindakan semberono golongan pelampau berhaluan kanan di negara itu.
"Melabel golongan bukan Islam dalam konteks Malaysia adalah satu perbuatan yang melampau dan membenihkan perbuatan ekstrimise agama
"MPN Terengganu menyeru seluruh masyarakat khususnya di Terengganu dan Malaysia amnya supaya mengambil pengajaran daripada rusuhan yang berlaku di UK sekarang yang dicetuskan oleh golongan berfahaman haluan kanan yang didominasi pelampau agama dan bangsa.
"Situasi yang berlaku di UK itu tidak boleh dibenarkan berlaku di Malaysia yang kita cintai ini," kataya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Nazri menasihatkan masyarakat untuk merujuk terlebih dahulu kepada ulama muktabar yang berfikiran luas dan jalur sederhana di negara ini dalam hal hal menyangkut hubungan kaum dan keharmonian bernegara.
"MPN Terengganu menyeru segenap lapisan masyarakat agar sentiasa merujuk golongan agamawan yang berada dalam jalur wasatiyah atau pertengahan dan mempunyai autoriti dan diiktiraf untuk dijadikan rujukan.
"Masyarakat mesti mengelak daripada merujuk golongan agamawan yang berada dalam jalur keras dan terpengaruh dengan fikrah takfiri dan khawarij bagi melindungi agama Islam daripada anasir-anasir pelampauan dan ekstrimisme," katanya lagi.
Comments