Pemilihan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah diarahkan oleh Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya segera dilaksanakan dan tidak perlu ditangguh sehingga selepas pilihan raya umum.
Bagi Setiausaha Agung KEADILAN, Senator Fuziah Salleh, terdapat cadangan untuk memperbaiki kaedah pemilihan jawatan parti yang biarpun setakat ini dilihat demokratik tetapi dikhuatiri tidak mengangkat suara semua pihak.
Katanya, biarpun sistem 'satu anggota satu undi' sudah dianggap baik dan meyakinkan namun ianya perlu diperkemaskan terutama dalam konteks parti diwakili tiga kaum terbesar dan untuk menghargai kelompok berkeperluan khas.
"Sistem (pemilihan) kita memang demokratik, di mana kita menjanjikan satu anggota satu undi.
"Namun paling penting bukan setakat demokratik sahaja. Kita harus lihat pemilihan ini untuk apa? Jadi untuk pemilihan akan datang, kita sudah menggariskan prinsip yang menjadi panduan di dalam kita melaksanakan pemilihan itu," kata Fuziah dalam temubual eksklusif bersama Suara Keadilan.
Menurut beliau, terdapat tiga prinsip yang perlu dipenuhi dalam pemilihan untuk menyelesaikan isu pengisian pemimpin-pemimpin dalam jawatan parti, yang jarang diwakili secara mantap dalam sistem pemilihan sedia ada pada waktu ini.
Sistem pemilihan yang lebih baik, kata Fuziah, akan memudahkan suara akar umbi untuk didengar atau dibawa ke peringkat pimpinan atasan.
Lebih merugikan, kata beliau, jika pemilihan berpandukan kepada 'cai' dan lebih menyukarkan lagi untuk anggota bawahan menyampaikan pandangan kerana pemimpin tidak mereka kenali.
"Prinsip pertama adalah keterlibatan demokrasi (participatory democracy). Maksudnya keterlibatan (anggota) memilih pemimpin, satu anggota, satu undi sebahagian daripada keterlibatan. Itu kekuatannya.
"Tetapi ada juga kelemahannya. Di mana ahli akar umbi tak kenal siapa pemimpin (peringkat pertengahan) yang mereka pilih. (Contoh) tak kenal ahli Majlis Pimpinan Pusat yang mereka pilih. Jadi ini mungkin ada sedikit cabaran dalam melaksanakan satu anggota satu undi ini.
"Di situ kadang kadang masuk pula sistem cai. Mereka mengundi bukan berdasarkan individu yang mereka kenal, yang layak untuk jadi pemimpin tetapi berdasarkan apa yang disarankan oleh kawan atau pemimpin mereka di peringkat akar umbi.
"Jadi itu tidak dapat diterjemahkan ke dalam barisan kepimpinan yang betul betul mencerminkan parti atau mencerminkan komposisi rakyat Malaysia," kata Fuziah.
Selain itu, menurut mantan Ketua Wanita KEADILAN itu, parti juga harus mengangkat prinsip representasi. Iaitu kepemimpinan yang mewakili semua kelompok rakyat.
"Contohnya rakyat Malaysia ini berbilang kaum, ada Melayu Cina, India, Kadazan Dusun, Murut, Iban, Orang Asal dan sebagainya
"Ada juga mewakili orang kurang upaya atau keperluan khas, wanita, orang muda dan lain lain. Jadi ini harus kita lihat juga dalam kita mengumpulkan pemimpin.
"Prinsip representasi yang melambangkan kepelbagaian itu amat penting. Yang mungkin tidak dapat diserlahkan dengan semata mata satu anggota satu undi," ujarnya.
Oleh itu, kata Fuziah, dengan sistem pemilihan baharu dicadangkan nanti maka tidak perlu dibuat lantikan tambahan untuk melengkapkan kuota kelompok tertentu yang mahukan suara mereka didengar.
"Sebab itu kadang kadang (selepas pemilihan) kita susah. Kita kena lantik (orang) itu ini sebab dalam (pimpinan yang terpilih) memang tak ada Orang Asal, tak ada India, tak cukup wanita, atau tak cukup anak muda.
"Jadi sistem demokratik tadi perlu juga menghasilkan representasi yang mencerminkan (kemajmukan) rakyat Malaysia," katanya lagi.
Comments