
Kerajaan MADANI akan terus mengkaji kenaikan gaji minimum secara berkala.
Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Steven Sim Chee Keong berkata, usaha itu akan dilaksana menerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) bagi memastikan ia selaras dengan perkembangan ekonomi dan keperluan semasa pekerja.
"Gaji minimum RM1,700 sebulan yang ditetapkan melalui Perintah Gaji Minimum 2024 adalah kadar asas bagi membantu pekerja memenuhi keperluan asas mereka.
"Walaupun gaji minimum tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), ia tetap menjadi salah satu indikator utama dalam penetapan kadar gaji minimum.
"PGK terkini bagi tahun 2022 adalah RM2,589 sebulan," katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim di Parlimen.
Hassan sebelumnya bertanyakan langkah kerajaan untuk memastikan gaji minimum pekerja dalam tempoh lima tahun akan datang dapat dinaikkan.
Sementara itu menurut Steven, berdasarkan pelaksanaan enam Perintah Gaji Minimum sebelum ini, kadar gaji minimum meningkat secara purata antara lima peratus hingga enam peratus setahun bergantung kepada prestasi ekonomi negara.
Bagi memastikan gaji minimum terus meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang, kerajaan melalui kementerian akan melaksanakan kajian semula sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun selaras dengan peruntukan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
"Proses kajian ini mengambil kira pelbagai faktor. Selain itu, sesi libat urus bersama wakil pekerja, majikan serta pihak berkepentingan turut dijalankan untuk menilai impak pelaksanaan gaji minimum.
"Kita komited sebarang keputusan mengenai kenaikan gaji minimum akan dibuat secara teliti bagi memastikan keseimbangan antara kebajikan pekerja dan daya saing majikan dalam ekonomi negara," tambahnya.
コメント