Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus berusaha memastikan titah Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat.
Menerusi kenyataan kementerian itu memaklumkan Agenda Reformasi Pendidikan yang direncanakan kini giat berjalan bagi memastikan pendidikan negara kekal relevan serta mampu menangani cabaran semasa dengan tuntas.
"KPM merafak sembah menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-15 pada 3 Februari 2025 yang turut menyentuh beberapa perkara yang melibatkan pendidikan negara.
"KPM sentiasa proaktif meningkatkan infrastruktur pendidikan bagi memastikan akses pendidikan yang berkualiti kepada semua murid," katanya.
Sementara itu menerusi kenyataan sama KPM memaklumkan pihaknya kini menumpukan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 disamping melaksana persediaan bagi kurikulum persekolahan 2027.
Usaha itu berpandukan kepada enam fokus utama iaitu digital, bahasa, literasi, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta prasekolah.
"Selaras usaha memperkasakan pendidikan TVET, kerajaan sudah meningkatkan kadar Bantuan Geran Per Kapita (PCG) TVET sebanyak 15 peratus dengan kos keseluruhan berjumlah RM900 juta.
"Sejumlah RM1.2 bilion juga diperuntukkan kepada Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik seluruh negara yang menyediakan pendidikan kepada 77,000 pelajar," katanya.
Selain itu KPM menegaskan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memartabatkan pendidikan negara.
Usaha itu dapat dilihat menerusi Belanjawan 2025 apabila sejumlah 44 sekolah, 11 Pusat PERMATA yang dilengkapi dengan pusat didikan anak-anak autistik serta dua sekolah baharu bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) diluluskan pembinaannya.
Sejumlah RM2 bilion turut diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara merangkumi RM1 bilion untuk menyelenggara semua jenis sekolah termasuk institusi pendidikan KPM.
"Manakala RM1 bilion lagi untuk menaik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak. Sebanyak RM100 juta turut diperuntukkan untuk membaik pulih kemudahan kantin dan musolla di sekolah," tambah kenyataan itu.
コメント