Penyokong pembangkang yang cemburu melihat Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bertemu rakyat di kaunter bergeraknya dinasihatkan mencadangkan kepada wakil rakyat mereka menggunakan pendekatan serupa di kawasan parlimen pembangkang.
Menurut Rafizi, kecaman penyokong pembangkang yang mahu beliau meletak jawatan Menteri dan jadi wakil rakyat biasa kerana tidak berjumpa formula memajukan negara dalam perjumpaan bersama rakyat amatlah tidak tepat.
Katanya, formula bertemu rakyat berkesan dalam membantu meringankan beban penduduk Pandan yang mempunyai pelbagai masalah, terutama melibatkan jabatan kerajaan.
"Ada orang yang sakit hati bila saya berjumpa orang ramai di kaunter bergerak saya.
"Formula saya berjumpa (dengan) orang ramai di kawasan parlimen saya adalah formula lama yang saya telah amalkan sejak sebelum saya jadi Ahli Parlimen lagi.
"Itu hak penduduk Pandan ke atas saya sebagai wakil rakyat Pandan.
"Kenapa nak disusahkan penduduk datang ke pejabat untuk mengadu masalah mereka, kerana satu dari amanah saya ialah membantu menyelesaikan masalah harian mereka," katanya di Facebook.
Menurut Rafizi yang sering digelar Raja Formula oleh pembangkang itu, masalah harian penduduk Pandan selalunya berkait jabatan kerajaan.
Selain daripada berurusan terus dengan jabatan kerajaan, ujarnya, orang ramai juga boleh memohon bantuan dari wakil rakyat untuk berurusan bagi pihak mereka.
"Formula ini percuma dan boleh diamalkan oleh semua wakil rakyat, terutamanya wakil rakyat pembangkang.
"Kepada penyokong pembangkang jangan sakit hati cari formula saya, sebab formula khidmat kepada pengundi melalui kaunter bergerak ini telah dibuktikan berkesan.
"Carilah wakil rakyat pembangkang yang hanya muncul di Tiktok dengan isu panas, tetapi tak nampak muka di lapangan untuk menyelesaikan masalah harian rakyat," sinisnya lagi.
Comments