
Banjir terburuk yang melanda negara sejak seminggu lalu mencatat jumlah sebenar mangsa yang jauh lebih tinggi daripada data harian disiarkan media sebelum ini.
Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara melalui taklimat beliau dalam mesyuarat Kabinet hari ini menjelaskan bahawa jumlahnya melebihi 220,000 mangsa.
"TPM Zahid Hamidi memberi taklimat pembentangan status isu banjir dan beliau memaklumkan secara keseluruhannya mangsa yang terkesan bukan hanya setakat yang kita peroleh dari NADMA, tetapi jumlah keseluruhan mangsa melebihi 220,000 dari hari pertama hingga hari ini, dengan 70,706 keluarga terlibat.
"Jumlah mangsa tertinggi pada satu ketika melebihi 150,000 mangsa dan setakat 12 tengah hari jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara adalah 25,559 orang," katanya dalam sidan media petang tadi.
Selain itu Fahmi memaklumkan timbalan beliau, Teo Nie Ching pada waktu ini sedang meninjau keperluan mangsa banjir di Raub, Pahang, khusus mengenai isu telekomunikasi yang terjejas banjir.
Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia juga, kata beliau, pada setiap hari meneliti jumlah menara atau stesen pemancar terkesan banjir sama ada telah dipulihkan atau tidak.
"Setakat 9 pagi tadi secara keseluruhan sebanyak 323 stesen pemancar komunikasi telah terjejas di 4 negeri; 264 di Kelantan, 49 Terengganu, 9 Pahang dan 1 Johor.
"Dari jumlah itu 267 telah kembali pulih manakala 56 belum beroperasi," katanya.
Manakala bagi pusat pemindahan sementara, kata beliau, setakat 9 pagi tadi 120 PPS masih beroperasi dan MCMC memaklumkan 23 PPS telah dipasang wifi percuma.
Suruhanjaya itu, katanya, terus berada pada tahap kesiap siagaan sekiranya berlaku banjir gelombang kedua selepas ini maka isu komunikasi akan ditangani segera.
Comentários