Oleh: Akmal Manaf
Jumlah keahilan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di seluruh negara mencatatkan peningkatan ketara apabila lebih 20,000 ahli telah mendaftar bagi menyertai sayap pemuda KEADILAN.
Perkara berkenaan diumumkan oleh Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kongres Nasional Khas KEADILAN yang diadakan di Dewan Raja Muda Musa, di Shah Alam, hari ini.
Menurut Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, jumlah penambahan ahli itu diambil dalam tempoh Disember tahun lalu sehingga ke hari ini.
"Daripada hanya 53 cabang yang wujud dalam negara sejak daripada pemilihan lepas, hari ini kita sudah ada 196 cabang di seluruh negara.
"Jadi saya lihat terdapat peningkatan yang sangat ketara. Ini juga memang dipetik oleh Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bahawa kita (KEADILAN) memang ada kemajuan yang baik daripada sudut peningkatan ahli," katanya.
Terdahulu, KEADILAN mengadakan kongres khas antara lain bertujuan untuk meminda perlembagaan parti yang menyentuh jumlah perwakilan, kuota gender dan etnik.
Kepimpinan tertinggi yang hadir adalah Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.
Turut kelihatan, Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari; Chang Lih Kang; Nik Nazmi Nik Ahmad; Datuk Seri Aminuddin Harun dan Nurul Izzah Anwar hadir sama dalam kongres berkenaan.
Selain itu, kongres turut disertai Ketua Penerangan, Fahmi Fadzil dan Ketua Wanita, Fadhlina Sidek.
Dalam perkembangan sama, Adam yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menyifatkan, dengan adanya pindaan perlembagaan dan terdapat wakil daripada AMK, ia memberikan satu makna yang lebih baik khususnya berkaitan penambahan ahli dalam kalangan sayap pemuda KEADILAN.
Comentarios