
Oleh: Akmal Manaf
Menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran tampil dengan inisiatif Program Jualan Subsidi Tong Gas Memasak Siri 2/2025 bagi meringankan beban rakyat, terutamanya dalam membuat persiapan perayaan.
Program berkenaan telah berlangsung di belakang Masjid Jamek Gemereh, Jalan Muar baru-baru ini dalam suasana yang cukup meriah.
Beliau berkata, kali ini pihaknya memilih Kampung Gemereh iaitu sebuah kawasan yang padat dengan komuniti Melayu untuk program berkenaan.

"Ternyata sambutan yang diterima memang luar biasa meskipun cuaca tidak menentu.
"Untuk edisi kali ini, sebanyak 300 tong gas memasak 14 kg disediakan dengan harga serendah RM10 sahaja setiap satu.
"Bandingkan dengan harga asal RM26.60, saya telah menampung sebahagian besar kos supaya lebih ramai dapat menikmati subsidi ini tanpa rasa terbeban," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Penerangan KEADILAN Johor itu berkata, seramai 153 orang telah mendaftar lebih awal, dan 147 lagi hadir secara walk-in.
"Program ini turut dibantu oleh RELA, manakala sukarelawan dari KRT Taman Bunga Raya dan Taman Gemereh yang membantu di bahagian pendaftaran.
"Terima kasih saya ucapkan, kerjasama anda amat saya hargai. Keseluruhan program berjalan dengan sangat lancar dan dijalankan secara pandu lalu, mungkin kerana lokasi yang strategik dan suasana yang harmoni antara petugas serta penerima bantuan.
"Harapan saya, inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat, terutamanya dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya bersama keluarga tercinta.
"Semoga usaha kecil ini membawa kegembiraan dan makna yang besar buat semua. Jumpa lagi dalam siri akan datang," ujarnya lagi.
Comments