Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan pelaksanaan inisiatif Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) melalui pasar-pasar awam secara bersasar melibatkan lokasi yang mengalami kenaikan harga barang mulai bulan depan.
Menterinya Armizan Mohd Ali berkata inisiatif itu bertujuan untuk memperluaskan akses kepada pengguna untuk membolehkan lebih ramai rakyat yang mendapat manfaat dan memperbanyakkan jenis barangan yang boleh ditawar dalam program jualan itu.
"Melihat kepada sambutan menggalakkan dan manfaat yang diperolehi oleh rakyat melalui siri penganjuran PJRM di seluruh negara, KPDN akan memperkenalkan kaedah baharu iaitu penganjuran PJRM di pasar-pasar awam secara bersasar.
"Pelaksanaan PJRM@Pasar ini adalah tambahan kepada tiga kaedah sedia ada iaitu PJRM dalam premis, luar premis dan bergerak.
"PJRM@Pasar akan mula dilaksanakan di pasar-pasar secara bersasar bermula bulan Oktober ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Armizan menghadiri Program Jualan Rahmah Madani Mega Negeri Terengganu di pekarangan Surau Al-Iman Losong Panglima Perang, Kuala Terengganu.
Armizan berkata premis sasaran penganjuran PJRM di pasar awam akan mengambil kira beberapa faktor seperti kawasan yang berlaku pergerakan harga barang dengan kadar kenaikan yang signifikan, gangguan bekalan disebabkan faktor cuaca dan kos pengangkutan yang tinggi hingga mempengaruhi harga barang.
Jelasnya pemilihan kawasan untuk PJRM@Pasar akan ditentukan berdasarkan pemantauan terhadap pergerakan harga barang dan aduan orang awam.
"Kaedah ini merupakan satu lagi bentuk intervensi kerajaan dalam membantu menangani isu kos sara hidup rakyat secara bersasar.
"Pelaksanaan di pasar-pasar secara bersasar mengikut keperluan semasa ini juga dilaksanakan untuk memastikan PJRM@Pasar tidak mendatangkan implikasi gangguan atau herotan kepada pasaran," ujarnya.
Dari 1 Januari hingga 19 September, sebanyak 7,173 program PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara dengan merekodkan seramai 6,343,112 pengunjung.
Bagi Terengganu sahaja, sebanyak 616 PJRM telah dilaksanakan, di mana 265 kali melalui kaedah secara dalam premis dan luar premis dan 351 kali secara bergerak.
Comments