Jualan gas memasak bersubsidi kurang separuh daripada harga pasaran di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Segamat kelmarin mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat setempat.
Menurut Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran, program Jualan Subsidi Tong Gas itu memberi potongan harga sebanyak RM16 setong dan masyarakat sekitar hanya perlu membayar harga sebanyak RM10 sahaja.
"Walaupun program bermula pada jam 10 pagi, penduduk setempat telah hadir awal untuk beratur bagi mendapatkan manfaat daripada inisiatif ini.
"Subsidi sebanyak RM16.00 diberikan bagi setiap tong gas memasak, membolehkan warga Segamat membayar hanya RM10 untuk menukar tong gas kosong seberat 14kg kepada tong gas penuh, berbanding harga asal RM26.
"Dalam tempoh kurang dua jam, semua stok yang disediakan telah habis dimanfaatkan. Ada juga penduduk yang secara kreatif mengambil tong gas melalui kaedah ‘drive-thru’, di mana mereka mendaftar dengan petugas di pejabat parlimen dan kemudian membawa kenderaan mereka ke hadapan pejabat untuk menerima tong gas secara terus dari lori Petronas," katanya dalam kenyataan.
Melihat sambutan yang menggalakkan, Yuneswaran akan memperluaskan lagi program tersebut pada masa akan datang.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM Segamat, Petronas, dan kakitangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Segamat atas kerjasama mereka.
"Selaras dengan amanat YAB Perdana Menteri pengertiannya Malaysia Madani, saya komited untuk menganjurkan lebih banyak program yang bermanfaat untuk rakyat," katanya lagi.
Comments