Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah membuat satu laporan polis berhubung kegiatan penjualan dadah menerusi aplikasi Tiktok.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, tindakan untuk menurunkan akaun tersebut juga telah dilakukan.
Katanya, MCMC juga akan terus memantau aktiviti penjualan dadah menerusi platform lain dalam negara.
"Carian pagi tadi menunjukkan pihak TikTok mengambil tindakan menurunkannya. Akaun itu tidak lagi boleh diakses, ia telah hilang.
"Walau bagaimanapun, berdasarkan produk tersebut saya minta MCMC meluaskan siasatan dan carian untuk mengenal pasti pihak lain yang cuba menjual dadah seperti ini di platform bukan hanya TikTok tetapi yang lain juga," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, kata Fahmi, MCMC akan meminta penjelasan daripada pihak TikTok tentang bagaimana akaun penjualan dadah boleh diakses sebelum ini.
Tambah Fahmi, setakat ini pihaknya menyerahkan kepada bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut berhubung perkara itu.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kegiatan penjualan dadah menerusi platform TikTok yang menimbulkan kebimbangan warga maya.
Comments