Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kemalangan yang mengorbankan tujuh nyawa di Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan persimpangan plaza tol Ayer Keroh, Melaka semalam.
Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata siasatan tersebut juga bagi membolehkan tindakan sewajar diambil terhadap syarikat lori dan bas yang terlibat dalam nahas tersebut.
Berdasarkan siasatan awal pihak berkuasa, kemalangan maut itu berpunca daripada tayar sebuah treler yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh tiga kenderaan dari arah bertentangan, kata beliau.
"Saya, bagi pihak seluruh warga Kementerian Pengangkutan, merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan berdekatan persimpangan tol Ayer Keroh semalam.
"Saya telah mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ untuk segera menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kemalangan tersebut dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori treler serta bas yang terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Loke berkata JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Laporan media menyebut tujuh maut termasuk kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, dekar Ayer Keroh malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata kemalangan 8.40 malam itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori foton, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Beliau berkata kemalangan berlaku apabila bas yang tiba di tempat kejadian terlanggar tayar yang tercabut dari sebuah lori dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
Bas tersebut bertembung dengan Perodua Bezza dan sebuah treler dan Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga
Ashari berkata lima mangsa maut yang sudah dikenal pasti adalah pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, dari Skudai, Johor; pemandu Estima, Khairul Ikhwan Mazupi, isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; bapa mentua, Ramli Ab Wahab, 66, dan anak bongsunya, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.
Katanya, seorang penumpang bas dan dua penumpang Estima yang maut masih belum dikenal pasti identiti.
Comments