Kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak meneruskan inisiatif mewajibkan semua penyedia perkhidmatan Internet (ISP) di Malaysia melakukan penghalaan semula Sistem Nama Domain (DNS), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Bagaimanapun, dalam masa sama beliau berkata pihaknya meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneruskan sesi libat urus dengan semua penyedia perkhidmatan bagi mencari kaedah terbaik menangani isu keselamatan dalam talian.
"Yang penting pada waktu ini, saya telah tegaskan bahawa keutamaan (kerajaan) adalah untuk memastikan Internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
"Mengambil kira jenayah yang semakin berhijrah ke dunia siber, bukan hanya dalam media sosial, tetapi juga dalam apa kita kenali sebagai world wide web (WWW), maka ikhtiar yang lebih penyeluruh perlu diusahakan," katanya pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, kerajaan meneliti pelbagai usaha yang diambil negara lain bagi menangani isu keselamatan dalam talian khususnya membabitkan media sosial.
Langkah itu katanya, termasuk berkaitan isu penetapan had usia untuk memiliki akaun media sosial seperti yang akan dilaksanakan di Australia.
"Waktu ini kita juga akan meneliti usaha di negara lain, bukan hanya di Australia dalam mengatasi masalah apa yang mereka lihat sedang berlaku dalam media sosial tetapi dalam konteks negara masing-masing," katanya.
Terdahulu, Fahmi dalam hantarannya di X beberapa hari lalu meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak meneruskan arahan mewajibkan semua ISP di Malaysia melakukan penghalaan semula DNS.
Sehubungan itu, katanya SKMM perlu meneruskan siri libat urus bersama semua pihak berkepentingan untuk memperoleh pandangan, cadangan dan saranan, memastikan objektif Internet yang lebih selamat dapat dicapai bersama.
Beliau berkata isu jenayah dalam talian termasuk akses ke laman web perjudian, persundalan, pornografi amat membimbangkan dan memerlukan usaha penyelesaian yang menyeluruh.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian SKMM Datuk Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen dilaporkan sebagai berkata, arahan terhadap ISP untuk mengalihkan trafik perkhidmatan nama domain yang menggunakan pelayan DNS pihak ketiga kembali ke pelayan DNS mereka sendiri tidak akan menjejaskan, mengganggu atau menyekat pengguna daripada melayari laman web yang sah.
Beliau berkata laman web yang terkesan dengan tindakan itu ialah laman web yang menyalahi undang-undang Malaysia, menyebabkan sekatan dikenakan supaya tidak dapat diakses rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, tindakan SKMM itu mendapat kritikan keras pelbagai pihak yang menyifatkan ia menyekat kebebasan bersuara rakyat negara ini.
Comentarios