Jenayah di media sosial yang tidak dibendung akibat kelemahan peraturan sedia ada menyebabkan rakyat Malaysia kerugian sehingga RM132 juta dalam platform tertentu.
Hal itu didedahkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.
"Setiap platform ini ada jenayah dalam talian dan kandungan yang boleh membahayakan keselamatan rakyat. Sebagai contoh, antara yang bermasalah dengan (platform) Facebook (FB) adalah scam.
"Berdasarkan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) secara keseluruhan kerugian daripada scam online di FB yang berbeza jenis scam, tetapi jumlahnya antara RM8 juta hingga RM132 juta untuk pelaburan yang tidak wujud dijaja melalui FB.
"Ini hanyalah angka bagi separuh pertama tahun ini, Januari hingga Jun.
"Bermaksud masalah paling besar dengan FB ialah bagaimana platform ini terus disalahgunakan oleh sejumlah penjenayah untuk memangsakan rakyat Malaysia. Curi wang simpanan kita melalui scam," katanya.
Manakala platform TikTok pula, kata Fahmi disalah gunakan penjenayah untuk aktiviti buli siber dengan membuat akaun palsu atau jenayah penipuan dalam talian.
Platform paling kurang kawalan pula katanya, adalah Telegram yang mana banyak aduan membabitkan jenayah pencerobohan maklumat peribadi, maklumat sensitif atau kecurian harta intelek.
"Kalau lihat Telegram, dimaklumkan masalah dihadapi adalah scam, judi dalam talian, sebaran maklumat peribadi, maklumat sensitif, rompakan hakcipta filem juga sebaran video dimiliki pihak lain.
"Sebagai contoh Astro membangkitkan wujudnya channel tertentu untuk menonton episod yang diterbitkan dan disiarkan dalam Astro. Telegram kita lihat tidak melakukan apa apa tindakan atau sangat lewat untuk mengambil tindakan.
"Di X pula ada isu buli siber dan isu pornografi.
"Hasil daripada ketiga tiga masaah ini meninggalkan kesan sangat negatif kepada rakyat terutama kepada mangsa dan meninggalkan kesan kesihatan mental
"Inilah sebab mengapa dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini kita putuskan bahawa PDRM, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan meneliti serta mengambil tindakan segera untuk memantapkan dan menyelaraskan aspek siasatan serta pendakwaan, termasuk masalah jenayah dalam talian," katanya.
Fahmi juga berkata beliau telah mendapat taklimat daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pelbagai pihak berkuasa lainnya pada hari ini berhubung tahap seriusnya jenayah siber yang menyalah gunakan platform media sosial.
"Khusus melibatkan media sosial dan online messaging system. Pagi tadi saya juga telah menerima taklimat di MKN bersama dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Timbalan Pengarah JSJK serta pihak MCMC mengenai beberapa perkara yang berlaku sekarang terutama mengeai angka dan kerugian yang agak penting.
"Telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri antara tiga perkara penting yang membelenggu rakyat Malaysia yang bermasalah aspek jenayah dalam talian adalah masalah scam, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak kanak," katanya lagi.
Comments