Jemaah menteri hari ini mengecam keras pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran dan bersolidariti bersama dengan rakyat Palestin.
Hal itu dinyatakan oleh Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.
"Jemaah Menteri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mantan Perdana Menteri Palestin itu dan menggesa siasatan segera dilakukan agar pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut dibawa ke muka pengadilan.
"Kerajaan Malaysia akan terus lantang menyuarakan sokongan serta bekerjasama dengan negara-negara lain dalam usaha mendesak pembebasan rakyat Palestin daripada sebarang bentuk kezaliman," kata Fahmi dalam satu kenyataan.
Pagi tadi, Haniyeh dan salah seorang pengawal peribadinya terbunuh selepas bangunan tempat mereka menginap dibedil, menurut laporan agensi berita Iran.
Ismail Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Selasa.
Comments