
Kerajaan Negeri Selangor memuji usaha susulan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk membentuk Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi bagi pembangunan semula Gaza.
Exco Agama Dr Fahmi Ngah dipetik laporan media berkata inisiatif itu selaras usaha pentadbiran Selangor membantu pembangunan semula Gaza menerusi Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza dilancarkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada tahun lalu.
"Usaha amat baik. Kerajaan Negeri juga ada Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza yang akan membina beberapa pembangunan infrastruktur di Palestin.
"Dengan proses gencatan senjata yang telah bermula, kita berharap projek itu dapat dimulakan segera," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan usaha membangun semula Gaza dengan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di wilayah itu.
Usaha itu laksana menerusi kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Susulan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im mengumumkan jawatankuasa khas diurussetiakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia akan dibentuk bagi mendukung komitmen Perdana Menteri membantu membangunkan semula Gaza.
Jawatankuasa itu akan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri serta rakan strategik bagi mempertingkatkan usaha menyeluruh masyarakat dalam pembangunan semula Gaza.
Sementara itu menurut laporan, Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza yang digerakkan Kerajaan Selangor bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyasarkan pembangunan tiga projek di atas tanah wakaf di Gaza.
Projek terbabit adalah pembinaan satu blok Apartmen Darul Ehsan (RM3.0 juta), Masjid Darul Ehsan (RM4.0 juta) dan Menara Tangki Air Darul Ehsan (RM1.7 juta), yang memerlukan dana RM8.7 juta.
Comments