Oleh: Akmal Manaf
Satu jawatankuasa khas terdiri daripada pakar akidah universiti-universiti tempatan telah diwujudkan untuk membantu dalam isu berkaitan GISB Holdings (GISBH).
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika persidangan Dewan Rakyat sesi petang berlangsung.
Penubuhan jawatankuasa itu katanya adalah bertujuan membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membangunkan modul pemulihan akidah yang khusus untuk kanak-kanak.
''Untuk makluman ahli dewan, kita telah mewujudkan satu jawatankuasa khas terdiri daripada pakar akidah universiti-universiti tempatan untuk tolong JAKIM.
''Untuk pengetahuan semua, modul pemulihan akidah yang ada (sekarang ini) melibatkan orang dewasa sahaja.
''(Setakat ini) belum ada untuk kanak-kanak lagi. Jadi dengan adanya jawatankuasa khas tersebut, insya-Allah kita akan membangunkan modul berkaitan kanak-kanak,'' jelasnya lagi.
Pada 8 Oktober lalu, dilaporkan seramai 662 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang terkait GISBH, mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil perkembangan terbaharu itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
GISBH terpalit kontroversi eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja selepas puluhan premis beroperasi sebagai pusat jagaan dan rumah amal dikaitkan dengan pertubuhan itu diserbu polis awal bulan lalu.
Dalam serbuan menerusi Op Global itu, polis telah menyelamatkan ratusan kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan puluhan individu termasuk pengendali premis berkenaan.
Comments