Satu lagi pembaharuan institusi dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan sesuai manifesto pilihan raya umum ke 15 lalu melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi (JKPK) bersetuju proses pelantikan pengerusi baharu SPR kelak perlu dijalankan secara terbuka dan melalui perundingan dengan Parlimen.
Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen berkata, jawatankuasa khas itu bersedia untuk bersidang bagi menyemak dan menapis calon-calon yang akan dipertimbangkan bagi mengisi jawatan itu.
"JKPK kemudian akan mengemukakan pandangan serta syor kepada kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja dalam melaksanakan budi bicara di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.
"Usaha melibatkan Parlimen (melalui JKPK) dalam proses pelantikan itu tanda muhibah kepada rakan kongsi masyarakat sivil dan pengiktirafan keprihatinan mereka, sambil menunjukkan Kerajaan Perpaduan ini komited menyampaikan pembaharuan yang nyata, segera dan berimpak, di samping pembaharuan struktur jangka panjang," kata kenyataan itu hari ini.
Sebelum ini terdapat desakan daripada pertubuhan pemantau, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mahu proses yang telus dan perundingan dilakukan dalam pelantikan Pengerusi SPR yang baharu, dan menggesa agar calon-calon ditapis terlebih dahulu oleh jawatankuasa parlimen.
Pelantikan baharu perlu dilakukan setelah Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh bersara wajib bermula 9 Mei lalu selepas mengetuai badan pengendali pilihanraya itu selama empat tahun.
Abdul Ghani menjawat jawatan berkenaan selama empat tahun bermula Ogos 2020.
Sebelum ini Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan bekas Setiausaha SPR itu akan memegang jawatan sebagai Pengerusi sehingga beliau mencapai usia 66 tahun.
Dalam surat terbuka pada 9 Mei lalu, Bersih bersama 80 pertubuhan bukan kerajaan, badan pemikir dan tokoh ternama menyeru pelantikan itu dibuat secara telus dan konsultatif.
William Leong berkata, seperti yang dinyatakan dalam surat terbuka itu: "SPR merupakan badan yang utama untuk menjalankan dan mengawal selia pilihan raya di Malaysia, termasuk mengemas kini daftar pemilih serta melakukan persempadanan pilihan raya."
Beliau berkata, peranan SPR menjadi semakin penting dalam jangka masa pendek ini kerana mereka akan menguruskan persempadanan semula kawasan pilihan raya di bawah Perkara 113(2) dan Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan yang boleh membawa kesan ketara kepada proses pilihanraya dalam jangka masa panjang.
"Proses pelantikan yang telus dan konsultatif bagi pengerusi-pengerusi badan awam seperti SPR adalah penting untuk menubuhkan sebuah demokrasi yang sihat dan stabil serta untuk menyemai keyakinan orang ramai terhadap institusi-institusi kita.
"Institusi-institusi demokrasi mesti berfungsi - dan mesti dilihat berfungsi - secara berautonomi dan bebas daripada pengaruh politik," menurut kenyataan itu lagi.
William Leong berkata kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan komitmen terhadap reformasi institusi melalui usaha yang sedang dijalankan untuk menubuhkan sebuah perkhidmatan Parlimen bebas, mewujudkan pejabat Ombudsman, menggubal undang-undang kebebasan maklumat, mengkaji semula peranan Peguam Negara dan menambah baik proses pilihanraya.
Bagaimanapun, kebanyakan reformasi ini melibatkan perubahan struktur dan undang-undang oleh itu memerlukan masa untuk menjalankan kajian serta pelaksanaan.
Comments