Oleh: Azuan Ab Rahman
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk memperkukuh dan memperluas jaringan keselamatan sosial negara agar dapat dirasai dan dinikmati oleh rakyat yang berhak atau layak.
Melalui satu hantaran di laman Facebooknya beliau berkata, menjelang tahun 2030, Malaysia akan menuju ke arah negara tua dan situasi itu berpotensi meletakkan sebahagian rakyat terutamanya golongan tua kepada pelbagai risiko.
Justeru Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) Kali Ke-7, Bilangan 1 Tahun 2024 yang diadakan semalam telah membincangkan strategi pengukuhan program insurans sosial sebagai persediaan negara ke arah itu.
"Antaranya seperti isu kemiskinan, masalah kesihatan dan perubatan, kekurangan simpanan persaraan serta penurunan produktiviti tenaga buruh hatta semua ini boleh menimbulkan implikasi kritikal terhadap prospek fiskal negara.
"Walhasil, pemantapan kerangka insurans sosial negara ini tidak hanya berasaskan pekerjaan tetapi turut meliputi kepada pembangunan individu dan negara secara lebih menyeluruh," katanya.
Perdana Menteri juga berkata, melalui usaha tersebut ia sekaligus dapat membawa kepada anjakan daripada pendekatan bantuan sosial yang berasaskan kebajikan kepada perlindungan risiko mengikut kitaran hidup rakyat Malaysia.
Comments