Jangan sebarkan persepsi negatif mengenai pemilihan parti - Amidi
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sebarang bentuk persepsi sehingga mendatangkan keraguan terhadap pimpinan parti pasca Pemilihan KEADILAN 2025 peringkat cabang yang berakhir kelmarin mesti dicegah, kata Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) KEADILAN, Amidi Abdul Manan.
Tegasnya, kesan negatif akan lebih ketara sekiranya 'cakap cakap' mengenai keraguan tersebut keluar daripada pimpinan atau pempengaruh dalam parti itu sendiri.
''Kita sibuk memperkatakan berkaitan tabayyun kepada orang lain, tapi kita bertukar neraca apabila isu tersebut melibatkan parti kita sendiri.
''Pemilihan peringkat cabang bagi KEADILAN telah selesai dilaksanakan menerusi aplikasi ADIL. Ia dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) seperti yang dimandatkan oleh Majlis Pimpinan Pusat.
''Seperti biasa 'rumah siap, pahat masih berbunyi'. Bunyi pahat itu akan diteliti oleh pihak pimpinan parti. Bunyi pahat tidak akan diketepikan.
''Adat pertandingan dalam KEADILAN, sudah tentu ada kalah dan menang dan juga sudah tentu ada yang akan berbunyi. Begitulah setiap kali diadakan pemilihan parti,'' katanya dalam kenyataan.
Ujar Amidi lagi, ketika ini dunia sarat dengan maklumat, fakta, ulasan dan persepsi yang bersimpang siur sehingga kebenaran kelihatan canggung dan terselubung dalam timbunan maklumat.
Oleh itu katanya, ia semakin menyulitkan untuk seseorang itu mencari kebenaran.
Justeru, beliau menasihati anggota parti agar tidak memperpanjangkan persepsi berlaku sesuatu yang tidak beres dalam pemilihan di peringkat cabang sehingga mengelirukan ahli mahupun orang ramai.
"Kemungkaran untuk mewujudkan persepsi sehingga mendatangkan keraguan terhadap pimpinan parti mesti kita cegah. Melabel wujudnya tangan ghaib, pihak ketiga, 'favouritisme' mesti dihentikan segera," ujarnya.
Dalam pemilihan peringkat cabang baru baru ini Amidi menang sebagai Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kuala Selangor dalam persaingan lima penjuru. Amidi memperolehi 1365 undi menewaskan pencabar terdekatnya Zailani Abd Kadir yang mendapat 1307 undi.
Comments