Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Kelihatannya budaya menunding jari kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh pemimpin-pemimpin pembangkang semakin disuburkan tanpa henti.
Semua hal atau isu yang berlaku dalam negara ini tanpa menggunakan menggunakan minda yang waras terus mereka menyalahkan PMX.
Ada waktunya penulis tertanya-tanya, adakah sewaktu dalam tidur juga sosok tubuh PMX menjadi igauan mereka hingga tidak mampu lena.
Bibir meratip nama PMX tanpa berhenti dalam jaga dan tidur. Alahai…kesian.
Terbaru dalam kewarasan minda para pembangkang sekali lagi teruji berikutan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu, pelbagai pihak tiba-tiba menyalahkan PMX.
Manfaat rakyat Sabah
Tun Musa telah pun menerima Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Sabah dan pelantikan yang disempurnakan oleh KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 17 Disemberi lalu.
Tun Musa, 73 tahun, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan Tun Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.
Tun Juhar Mahiruddin telah menyandang jawatan tersebut selama empat penggal bermula 1 Jan 2011.
PMX turut menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah yang disempurnakan oleh KDYMM yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan menitipkan doa semoga khidmat dan pengalaman panjang Tun Musa dihargai serta dimanfaatkan terutama rakyat Sabah.
Oleh itu kenapa pula mahu menyalahkan PMX terhadap pelantikan Tun Musa Aman?
Bebelan dan kritikan terhadap pelantikan Tun Musa yang membabitkan nama PMX eloklah dihentikan segera kerana tidak membawa faedah kepada keharmonian negara.
Menerusi laporan media kita menyaksikan sendiri ribuan rakyat Sabah membanjiri Terminal 2 KKIA untuk menyambut kepulangan Tun Musa ke Sabah dengan suasana amat meriah.
Dilaporkan lebih 4,000 warga Sabah menunggu kepulangan Tun Musa dengan laungan 'hidup-hidup Musa Aman'.
Rakyat Sabah sudah move on
Perlu diingat, semua pertuduhan rasuah terhadap Tun Musa sudahpun digugur pada tahun 2020. Hormatilah keputusan yang telah dibuat oleh hakim mahkamah.
Rakyat Sabah sudah move on. Mereka mahu Sabah terus maju dan hidup dalam sejahtera dan harmoni. Jika adapun yang masih cuba bersosek-sosek ia pasti akan berhenti.
Oleh itu apa perlunya terus menerus meratip nama PMX dan menyalahkan beliau dalam pelantikan tersebut.
Perlu diperjelaskan semula bahawa Perdana Menteri tiada kena-mengena dengan pelantikan tersebut.
Ini kerana perlembagaan Sabah dengan jelas menyebut - pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah adalah mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat daripada Ketua Menteri Sabah.
Ia bermakna yang mencadangkan nama Yang di-Pertua Negeri ialah Ketua Menteri Sabah, bukan Perdana Menteri.
Hakikatnya, Perdana Menteri tiada kena-mengena dan tiada peranan dalam pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah. Noktah.
_______________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments