
Oleh: Azuan Ab Rahman
Tindakan pihak yang cuba mengeksploitasi isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman demi kepentingan sendiri diselar.
Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, tindakan tersebut seolah-olah satu sabotaj kepada usaha kerajaan yang sedang berusaha mencari penyelesaian yang adil dan saksama dalam isu tersebut.
Sambil menyokong seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tiada pihak mengambil kesempatan terhadap isu sensitif berkenaan, beliau berkata, sebarang percubaan mengeksploitasi isu tersebut dibimbangi hanya akan membangkitkan ketegangan dalam masyarakat.
"Pendekatan tegas Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa isu ini akan ditangani dengan adil dan harmoni.
"Sebarang usaha untuk menimbulkan ketegangan kaum atau agama hanya akan merosakkan perpaduan yang menjadi tunjang negara kita," tegas Dr Gunaraj dalam kenyataan.
Sehubungan itu beliau menggesa pihak berkuasa bertindak segera dan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan perpecahan atau membuat kenyataan menghina mana-mana agama atau kaum.
Beliau turut menggesa pihak media agar memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dengan mengelakkan laporan bersifat sensasi yang boleh memburukkan lagi keadaan.
"Kita memerlukan lebih banyak liputan yang memupuk kasih sayang, toleransi, dan saling menghormati.
"Ini akan membantu mengukuhkan perpaduan serta memastikan isu sensitif dapat diselesaikan secara positif dan aman," tambah beliau dan berharap semua pihak dapat mengekalkan sikap saling menghormati serta tidak membiarkan unsur-unsur perpecahan meracuni masyarakat dengan retorik kebencian.
Comments