top of page

'Jangan politikkan isu larangan jual arak naikkan sentimen kaum'



Oleh: Akmal Manaf


Parti komponen Kerajaan Perpaduan, MCA dinasihatkan agar tidak mempolitikkan isu penjualan arak di Ipoh semata-mata untuk meraih sentimen sokongan masyarakat bukan Melayu dalam persaingan politik mereka dengan pengaruh DAP.


Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata MCA sepatutnya bersaing secara sihat untuk mendapatkan sokongan, dan bukan dengan mengeksploitasi isu sensitif seperti penjualan arak.


''MCA diingatkan jangan kerana hendak membuktikan mereka 'lebih berani dari DAP dalam hal arak ini' menjadikan isu penjualan arak sebagai pertaruhannya.


''Ia berisiko menggugat keseluruhan segmen masyarakat berbagai kaum dan agama di Perak ini,'' katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Menurut Mujahid lagi, banyak lagi isu lain yang boleh dikritik untuk membangunkan Perak di bawah dasar Perak Sejahtera 2030.


Katanya, MCA sebagai parti komponen Kerajaan Perpaduan sepatutnya menyatukan rakyat berbagai kaum dan agama di negeri berkenaan melalui nilai politik inklusif dan progresif serta memahami sensitiviti semua kaum dan agama secara prinsip 'rule of law'.


''Daripada memetik isu penjualan arak demi meraih sokongan politik dalam persaingan segmen pengundinya, saya mengajak MCA untuk sama-sama menangani isu kesan ketagihan arak yang lebih parah dalam masyarakat.


''Ketagihan sehingga menyebabkan isu kesihatan, keruntuhan rumah tangga, membahayakan keselamatan di jalan raya dan keganasan rumah tangga,'' ujarnya lagi.


Senator Dewan Negara itu menjelaskan, isu larangan jualan arak di kawasan majoriti Melayu khususnya dalam daerah Gugusan Manjoi telah ditetapkan sejak tahun 2020/2021.


Kata beliau, ketetapan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dibuat atas desakan majoriti orang Islam dan mengambil kira isu sensitiviti pengharaman arak mengikut ajaran agama.


''Isu larangan jualan arak di premis di bawah kuasa MBI ini jika hendak dilaksanakan di luar kawasan yang diputuskan akan dibincang dan diteliti sebelum dikuatkuasakan dengan mengambil kira pandangan masyarakat setempat.


''Perkara itu jelas disebut oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin. MCA dan pihak lain tak perlu memutarbelitkan kenyataan ini atau membesar-besarkannya untuk selera politik sempit,'' tempelak beliau.


Pada 18 Januari lalu, media melaporkan MBI akan memperluaskan pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi sebelum ini.


Rumaizi dilapor berkata, MBI meluluskan dasar untuk membuat kajian terhadap tuntutan penduduk dari kawasan majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.


Semalam, MCA Perak menerusi Ketua Penerangannya, Chung Kok Heung mengecam pemimpin kerajaan Perak khususnya daripada DAP, susulan peluasan sekatan oleh MBI.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page