![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_b0b27459f69c433d83fce0bcc2ea3588~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_440,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_b0b27459f69c433d83fce0bcc2ea3588~mv2.jpg)
Pihak berkepentingan diingatkan untuk tidak mempolemikkan cadangan penyediaan garis panduan penglibatan orang Islam di dalam majlis sambutan perayaan atau upacara kematian orang bukan Islam sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, garis panduan yang dikeluarkan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam itu bersifat nasihat dan bertujuan untuk memupuk keharmonian sosial serta budaya dalam kalangan masyarakat berbilang agama.
"Menerusi garis panduan sedang dibangunkan tersebut, orang Islam akan dapat menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.
"Garis panduan yang sedang dibangunkan itu juga adalah bersifat nasihat. Setelah ia dimuktamadkan nanti, garis panduan ini akan memandu dan merancakkan usaha kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan dan membina sikap saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat tanpa berasa bimbang atau salah faham daripada perspektif agama Islam.
"Ini secara langsung akan memastikan penganjuran dan penglibatan orang Islam dalam aktiviti-aktiviti tersebut tidak akan mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti antara para penganut agama," katanya dalam kenyataan semalam.
Dr Na'im menegaskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memuktamadkan satu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain pada penghujung bulan Februari ini.
Tegas beliau, garis panduan itu bertujuan sebagai rujukan bagaimana orang Islam boleh menghadiri acara bukan Islam dengan cara yang tertib, hormat dan berpegang kepada prinsip Islam.
Comments