Tindakan sesetengah pihak terus mempertikaikan pengampunan diraja yang diperolehi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 lalu seolah olah mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Haziq Azfar Ishak berkata, prosedur pengampunan tersebut telah dilakukan secara jelas dengan permohonan oleh keluarga Anwar kepada Lembaga Pengampunan dan dipersetujui oleh Agong, Sultan Muhammad V pada 2018.
"Keberadaan rayuan Sdr. Anwar dalam Lembaga Pengampunan sudah jelas diterangkan dalam kenyataan media pembebasan penuh beliau yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada 16 Mei 2018.
"Keluarga Anwar telah mengemukakan permohonan pengampunan Diraja sejak 24 Februari 2015, ditolak dan telah melakukan rayuan.
"Rayuan yang dibuatlah membolehkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Lembaga Pengampunan memberi pengampunan tersebut," katanya dalam kenyataan.
Oleh itu, Haziq dalam kenyataan itu menyelar Kenyataan Ketua Pemuda UMNO yang mempertikai pengampunan Diraja yang diperoleh oleh Anwar Ibrahim pada detik awal tertubuhnya Kerajaan Pakatan Harapan.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai dangkal kerana mempersoalkan perkara yang terang lagi nyata.
Katanya, pihak yang membawa kes berkenaan ke mahkamah selepas itu juga gagal menggugat keputusan pengampunan diraja berkenaan kerana hal itu merupakan kuasa Agong dan Lembaga Pengampunan menjalankan tugasnya dengan betul.
"Mahkamah Persekutuan juga telah mengesahkan penghakiman Mahkamah Rayuan pada tahun 2021 yang memutuskan bahawa Lembaga Pengampunan yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengurniakan pengampunan kepada Anwar telah dibentuk secara sah dan betul bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Justeru, Haziq berharap Dr Akmal selepas ini merujuk terlebih dahulu pengamal undang undang dalam Pemuda UMNO sebelum membuat kenyataan.
Semalam dalam akaun media sosialnya, Dr Akmal mempersoalkan pengampunan diraja ke atas Anwar pada 2018 lalu sama ada telah dibawa terlebih dahulu ke Lembaga Pengampunan.
Hal itu berikutan kenyataan lembaga berkenaan supaya isu tahanan di rumah ke atas bekas PM Najib Razak boleh dibuat permohonan semula ke Lembaga Pengampunan.
Bình luận