top of page

Jangan panaskan isu derma sekolah Cina jadi isu perkauman - AWAN



Isu kehadiran Ketua Wanita AMANAH, Datuk Aiman Athirah Sabu dalam majlis kutipan derma sebuah sekolah Cina bukan sahaja dijadikan fitnah berkaitan sumbangan syarikat arak tetapi telah dipanaskan sebagai isu perkauman 'membantu' pendidikan masyarakat Cina.


Bagi Pengarah Komunikasi Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Soraya Salim, pemesongan isu tersebut sengaja dilakukan oleh laskar siber pembangkang yang mahu menimbulkan sentimen kebencian antara kaum yang tidak berasas.


"Isu ini ternyata sengaja diapi-apikan oleh sesetengah pihak khususnya kalangan pembangkang yang mengambil kesempatan demi kepentingan politik sempit menunggang sentimen ekstrim perkauman.


"Kehadiran Ketua Wanita Amanah Nasional, YB Datuk Aiman Athirah Sabu ke mana-mana program anjuran pelbagai pihak dalam kawasan Parlimen Sepang merupakan sebahagian tugas hakiki beliau selaku wakil yang dipilih rakyat.


"Dalam melunaskan amanah sebagai Ahli Parlimen Sepang adalah menjadi keutamaan beliau berkhidmat untuk semua rakyat dan hal ini selari dengan tuntutan tugas sebagai seorang Ahli Parlimen yang bertanggungjawab menyantuni segenap lapisan rakyat di kawasannya.


"AWAN tegas menolak fitnah jahat ke atas YB Aiman Athirah oleh pelbagai pihak yang sengaja menangguk di air keruh demi mendapatkan mata politik picisan, malah tiada keperluan untuk beliau melepaskan sebarang jawatan yang diamanahkan atas mandat jelas daripada rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, kata Soraya, AWAN sebagai salah satu sayap utama Parti Amanah Negara akan berdiri teguh di belakang kepimpinan Aiman Athirah untuk terus menyebarkan politik rahmah yang meraikan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk Malaysia melalui pendekatan politik nilai, politik khidmat dan politik mendidik, lantas tegas menolak politik fitnah, adu domba dan kebencian antara kaum yang tidak seharusnya mendapat tempat di negara ini.


Beliau juga menyeru agar rakyat Malaysia menghormati keputusan Jemaah Menteri berkaitan isu kutipan dana sekolah dan memberi sedikit pengecualian kepada sekolah vernakular dalam mendapatkan derma dari syarikat tertentu.


"Semua pihak wajar menghormati keputusan Jemaah Menteri terkait kutipan dana sekolah sekaligus menamatkan polemik yang tidak menguntungkan ini.


"Sebarang perbincangan tentang kutipan dana sekolah pelbagai aliran juga sewajarnya diadakan dengan jujur secara ilmiah, sivil dan berfakta ke arah menemukan penyelesaian tuntas, bukannya atas jalur politik perkauman sempit yang bakal menyemarakkan api kebencian antara kaum," katanya lagi.


Justeru itu, katanya, AWAN menggesa semua lapisan masyarakat khususnya ahli-ahli politik dari kedua-dua belah pihak menghentikan segera polemik yang tidak bermanfaat terbabit, sebaliknya menumpukan usaha dan tenaga ke arah pemerkasaan pendanaan serta kualiti pendidikan anak-anak semua bangsa di sekolah semua aliran.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page