Ulang tahun ke 25 penubuhan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) semalam merupakan acara untuk memperingati jasa dan pengorbanan generasi awal memperjuangkan Reformasi serta menubuhkan parti pada 1999 lalu.
Menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jasa para pejuang awal itu tidak terbalas dan tidak boleh dilupakan oleh generasi penerus.
Katanya, pimpinan hari ini perlu mengambil sikap dan semangat penggiat awal itu yang tidak menghiraukan pangkat atau kuasa dalam perjuangan politik.
"Saya ingin singkap sejarah. Ramai teman teman yang mengasaskan perjuangan ini termasuk (bersama) Azizah, juga rakan rakan sudah tidak bersama kita.
"Sudah meninggal atau keuzuran. Jangan kita lupa mereka ini berjuang tanpa habuan, kedudukan tetapi semata mata pengorbanan
"Saya harap generasi baru, generasi penerus tidak akan melupakan jasa mereka. Ada yang sampaikan salam kerana keuzuran tidak dapat bersama kita. Termasuk Prof Syed Husin Ali, salah satu idealisme perjuangan rakyat di negara kita.
"Jangan sekali kali kita lupa kepada dasar perjuangan ini. Seperti mana selalu saya sebut, kuasa itu mampu memukau. Kuasa itu satu yang gemerlapan. Maka ingat tentang asas perjuangan," katanya dalam ucapan makan malam khas bersama pejuang awal KEADILAN di Sentul Depot, Kuala Lumpur, malam tadi.
Pada majlis itu juga, Anwar mengingatkan bahawa prinsip awal perjuangan KEADILAN yang menarik minat pelbagai kaum menyertainya kini telah beransur ansur menjadi dasar kerajaan, seperti kesaksamaan antara kaum.
Katanya, biar pun perjuangan KEADILAN pernah tidak diterima oleh kaum kaum tertentu namun parti kekal di atas landasannya sehinggalah berjaya memerintah negara.
"Kita tidak pernah berganjak, diserang dan hampir tewas di beberapa kawasan kerana mempertahankan prinsip ini.
"Kita tidak terhakis Islam, atau Melayu kita, tetapi kita tetap pertahan hak setiap rakyat.
"Di KKB isu ini terus dimainkan. Mana boleh di Malaysia, majoriti Islam, perwakilan majoriti Islam tetapi kita nak nafikan hak Cina atau India atau Dayak atau Iban, Dusun...
"Saya nak beritahu, KEADILAN akan tetap pertahankan prinsip Perlembagaan dan untuk menjamin negara ini aman dan berjaya setiap suku kaum mesti mendapat perwakilan yang adil.
"Melayu dan Bumiputera tidak miskin kalau kita adil, tidak ketinggalan kalau kita beri hak kepada semua," katanya lagi.
Sambutan Jubli Perak KEADILAN semalam diwarnai dengan pemeran 25 tahun suka duka perjuangan dan forum yang membariskan panel pemimpin berjasa kepada parti sepanjang dua dekad.
Comments