Oleh: Mohd Fauzi Fadzil
ULASAN: Ucapan Datuk Seri Muhammad Sanusi bin Md Nor selaku Menteri Besar Kedah semasa Ceramah Perdana PN Selangor sempena program Jelajah Selangor Baharu ternyata telah mengguris perasaan aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang selama ini berjuang dengan penuh kejujuran terutama dalam isu melawan kemiskinan.
Beliau menuduh bahawa perjuangan gerakan belia pada tahun 1974 yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya sekadar untuk meraih populariti sahaja, perjuangan tersebut bukan sahaja digerakkan oleh PMX malah ramai lagi pemimpin belia termasuk pemimpin ABIM yang turut terlibat dalam gerakan memperjuangkan nasib petani miskin pada waktu tersebut.
Demontrasi tersebut bagamanapun berakhir dengan penangkapan 2,000 aktivis yang ditahan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), PMX pada waktu itu telah dipenjara tanpa bicara hampir dua tahun kerana penglibatan beliau dalam Demonstrasi Baling 1974.
Angkat suara petani miskin
Perjuangan pemimpin ABIM semasa Demonstrasi Baling 1974 adalah manifestasi perjuangan mengangkat suara petani miskin yang tidak diendahkan oleh golongan establishment, kenaikan harga barang dan kejatuhan ekonomi termasuklah kejatuhan harga getah telah memaksa golongan petani di Baling berikhtiar hidup dengan memakan sejenis ubi gadung yang mengandungi racun sehingga didakwa mengakibatkan kematian.
Pada waktu tersebut PMX selaku Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan ABIM telah menggerakkan seluruh kekuatan belia untuk menuntut perhatian golongan establishment bagi membantu meringankan bebanan golongan petani miskin di Baling.
Demonstrasi tersebut telah berjaya mendesak Perdana Menteri pada ketika itu Tun Abdul Razak Hussein untuk memberi jaminan bahawa harga getah akan dinaikan serta merta, peristiwa tersebut juga telah mengakibatkan kerajaan mula memperkenalkan polisi untuk mengawal harga getah supaya tidak membebankan golongan petani miskin.
Tidak perlu jadi miskin untuk berjuang
Usaha PMX bersama aktivis ABIM dalam memperjuangkan nasib petani miskin tidak memerlukan mereka untuk menjadi miskin bagi memahami maksud sebenar penderitaan akibat belenggu kemiskinan. Logik yang digunakan oleh Menteri Besar Kedah iaitu hanya orang miskin yang memahami erti sebenar kemiskinan adalah tidak benar, PMX telah mempertaruhkan masa depan beliau sebagai belia berpelajaran tinggi untuk memperjuangkan isu petani miskin walaupun beliau tidak pernah hidup dalam keadaan miskin tegar.
Konsep ihsan sahaja sudah mampu menggerakkan PMX untuk memperjuangkan suara petani miskin yang berada jauh di utara tanahair, konsep ihsan juga menyebabkan PMX sedia untuk dipenjarakan bersama rakan-rakan seperjuangan ABIM.
Secara kesimpulannya tuduhan Menteri Besar Kedah yang cuba meremehkan perjuangan aktivis ABIM semasa Demonstrasi Baling 1974 adalah sangat keterlaluan. Beliau telah dibutakan oleh kebencian politik sehingga sanggup meremehkan pemenjaraan 2,000 orang aktivis akibat Demonstrasi Baling 1974.
Berbeza dengan perjuangan Pas
Beliau harus sedar bahawa polisi yang lebih mesra golongan petani miskin telah dibentuk hasil Demonstrasi Baling 1974, tanpa peristiwa tersebut maka Malaysia yang mengamalkan sistem ekonomi laissez-faire tidak akan masuk campur dalam menentukan harga getah yang lebih setimpal untuk golongan petani miskin.
Usaha PMX untuk menoktah kemiskinan tegar mungkin tidak seratus peratus tercapai seperti yang dirancang, namun sekurang-kurangnya PMX berani untuk menjadikan fokus tersebut sebagai matlamat beliau sebelum tahun 2023 berakhir.
Keadaan ini jauh berbeza dengan sesetengah pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang beranggapan bahawa dalam Islam tidak ada maksud menoktahkan kemiskinan tegar.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Exco Pendidikan ABIM Selangor
Comments