
Tindakan tidak bertanggungjawab seorang pempengaruh di media sosial yang mendakwa budaya tradisional Cina seperti tarian singa dan menggaul yee sang mengandungi unsur khurafat, dan umat Islam tidak boleh terlibat dalam acara itu amat dikesalkan.
Menurut Pengarah Komunikasi Nasional KEADILAN, Lee Chean Chung, tohmahan pempengaruh itu bukan sahaja mengarut malah menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia berbilang kaum.
"Saya membantah sekeras-kerasnya dakwaan ini dan menegaskan bahawa budaya tersebut tidak mempunyai unsur pemujaan atau kepercayaan khurafat. Tuduhan sedemikian bukan sahaja tidak berasas, malah boleh menjejaskan keharmonian antara kaum.
"Tahun Baharu Cina seharusnya menjadi perayaan yang mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Tarian singa dan yee sang telah menjadi elemen penting perayaan ini, memainkan peranan menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang.
"Namun, dakwaan bahawa ia mengandungi unsur keagamaan adalah amat dikesalkan," katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Chean Chung, tarian singa merupakan budaya tradisional masyarakat Cina yang melambangkan keberanian, kesejahteraan serta perlindungan daripada nasib malang.
Tarian itu sering dipersembahkan semasa Tahun Baharu Cina dan majlis pembukaan perniagaan sebagai simbol permulaan yang penuh keberuntungan.
Selain itu, katanya, upacara cai qing (memetik daun hijau) dalam tarian singa pula melambangkan rezeki atau kemakmuran yang melimpah ruah dalam tahun berikutnya.
"Begitu juga dengan yee sang, ia merupakan ciptaan unik masyarakat Cina di Malaysia dan menjadi kebanggaan negara.
"Penggunaan tujuh warna berbeza dalam hidangan ini hanya untuk membawa maksud simbolik yang baik, seperti ikan mentah yang melambangkan "nian nian you yu" atau rezeki berterusan setiap tahun dan keropok rangup yang melambangkan kekayaan atau emas bertaburan.
"Paling utama, yee sang adalah aktiviti berkumpulan yang memperkukuh hubungan sesama ahli keluarga dan rakan-rakan, melambangkan perpaduan, keharmonian dan semangat kerjasama. Jadi tidak timbul sebarang unsur kepercayaan khurafat dalam amalan ini," katanya lagi.
Chean Chung menekankan upacara tersebut telah pun menjadi kebiasaan pemimpin politik dan agama atau kaum di negara ini mengambil bahagian bagi meraikan perayaan Tahun Baharu Cina.
"Perlu diketahui ramai pemimpin muslim di Malaysia, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Pas Tan Sri Hadi Awang turut menyertai aktiviti yee sang dan menyaksikan tarian singa setiap tahun, namun mereka tetap kekal sebagai muslim yang taat. Ini jelas menunjukkan dakwaan kononnya ia adalah amalan khurafat tidak berasas sama sekali.
"Malah, tarian singa juga telah dicalonkan untuk dimasukkan ke dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan budaya ini sebagai warisan yang tiada kaitan dengan agama.
"Oleh itu, saya menyeru pempengaruh berkenaan agar menghentikan kenyataan yang mengelirukan dan tidak bertanggungjawab, kerana ia boleh menjejaskan perpaduan sosial," ujarnya.
Justeru, Ahli Parlimen Petaling jaya itu mengajak pempengaruh berkenaan untuk berdialog secara terbuka, bertukar pandangan, dan meningkatkan pemahaman mengenai perpaduan nasional.
Katanya, kepelbagaian budaya di Malaysia adalah aset negara yang perlu dihargai dan dihormati oleh semua pihak juga perlu dipelihara bersama-sama.
Comments