![Satu laporan polis dibuat oleh Raymond ke atas pihak yang mengelirukan isu Batu Sumpah Keningau](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_4ac9db09b3514f1cac0ebc06009396ab~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_470,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_4ac9db09b3514f1cac0ebc06009396ab~mv2.jpg)
Pihak tertentu yang mengkritik Kerajaan Perpaduan Sabah dinasihatkan tidak mengelirukan rakyat terkait upacara penghormatan yang dilakukan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di monumen Batu Sumpah Keningau, Sabah pada 25 Januari 2025 lalu.
Menurut Pengerusi Penganjur Majlis Sambutan Tahun Baru dan Rumah Terbuka Hari Natal PH Sabah, Raymond Ahuar, Batu Sumpah Keningau merupakan monumen penting dalam pembentukan Persekutuan Malaysia dan bukanlah tempat melakukan ritual sebagaimana sangkaan pengkritik.
"Sebagai seorang pemimpin Sabah dalam Malaysia yang sentiasa mempertahankan hak-hak Sabah beliau (Ewon) mengadakan kunjungan singkat dengan melakukan simbolik sebagai penghormatan dan penghayatan kepada hak yang perlu dipertahankan seperti yang tercatat pada Batu Sumpah tersebut, iaitu dengan melakukan simbolik dan bukan ritual," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Raymond, upacara yang dilakukan seperti menyiram air pada batu itu mempunyai simbolik agar apa jua niat baik yang tercatat pada Batu Sumpah tersebut akan terus hidup subur dalam minda rakyat Sabah dan Malaysia.
Begitu juga, katanya, tradisi melepas burung merpati adalah simbolik kebebasan dan perberitaan tentang hajat baik yang tercatat dalam Batu Sumpah agar sampai kepada seluruh rakyat Sabah dan rakyat Malaysia umumnya.
Program berkenaan juga, kata beliau, telah mendapat kebenaran daripada Pejabat Daerah dan Muzium Warisan Keningau.
"Batu Sumpah ini telah dibina dengan penuh adat-istiadat masyarakat Pedalaman untuk mengikat janji. Kita juga mendapat pandangan daripada beberapa pihak yang berautoriti dalam perkara ini dan apa yang dilakukan pada masa itu tidak ada yang menyalahi undang-undang dan adat.
"Untuk makluman umum bahawa tidak ada Prosedur Piawai yang ditetapkan ketika berkunjung ke Batu Sumpah," ujarnya.
Justeru, Raymond yang juga Ketua Cabang KEADILAN Pensiangan membidas cubaan sesetengah pihak memaksa pemegang adat di daerah Keningau untuk mengikut telunjuk mereka.
Perbuatan itu, katanya, hanya membakar api kebencian dalam kalangan masyarakat agar membenci dan menyalahkan pihak penganjur dengan mereka-reka cerita yang kononnya program tersebut adalah ritual dan tiada kebenaran. Selain, menghasut rakyat agar membenci Kerajaan Madani dengan menyerang program yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan Sabah, yang menjadi tonggak kepada kerajaan persekutuan hari ini.
Begitu juga, katanya, pihak tertentu yang cuba mengaitkan upacara di Batu Sumpah berkenaan sebagai punca malapetaka banjir yang berlaku di Sabah adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
"Ada pula pihak yang cuba memperbodohkan masyarakat dengan mengaitkan hujan dan banjir ini dengan acara menyiram air pada Batu Sumpah, sedangkan ramalan kaji cuaca sudah dikeluarkan sebelum acara ini dilaksana.
"Oleh itu, saya mengajak semua masyarakat agar bijak dalam hal ini dan tidak terpengaruh dengan niat jahat sesetengah pihak berkaitan Batu Sumpah," katanya lagi.
Opmerkingen