Pemimpin Pemuda Pas seharusnya berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan yang menuduh pihak berkuasa mengamalkan pendakwaan terpilih.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung membuat gesaan itu susulan kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Pas yang mendakwa pihak berkuasa telah mengambil tindakan tidak seimbang terhadap pelawak Harith Iskander dan pengguna Facebook Cecelia Yap susulan hantaran sindiran mengenai penggunaan perkataan "ham", susulan kontroversi status halal sandwic yang dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya baru baru ini.
Pelawak Harith Iskander kemudian menerima ancaman keselamatan dan polis bertindak terhadap pihak yang membuat ancaman tersebut.
"Saya rasa para pemimpin Pemuda Pas seolah-olah salah faham dengan isu sebenar, menyamakan gurauan (lawak) dengan ancaman terhadap keluarga seseorang, dan seterusnya menyalahkan pihak polis.
"Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Jangan hanya kerana politik, fakta diputarbelitkan," kata Chean Chung dalam satu kenyataan.
Terdahulu pemimpin pemuda pembangkang mndakwa pihak berkuasa bertindak pantas terhadap individu yang mengugut Harith dan keluarganya namun tindakan terhadap Harith dan Yap masih belum diambil secara sewajarnya.
Mengikut kertas pertuduhan, individu yang mengancam Harith, seorang lelaki berusia 31 tahun menghantar mesej WhatsApp yang mengandungi gambar serta kata-kata ugutan dengan niat merogol dan membunuh anak perempuan mereka yang berusia 12 tahun.
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 31 Januari lalu menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM2,000 ke atas pesalah tebabit.
Sementara itu tambah Chean Chung, wakil rakyat dan pemimpin muda seharusnya mengutamakan perpaduan negara dan keharmonian masyarakat, bukan menjadikan undang-undang sebagai alat untuk memanipulasi sentimen rakyat.
"Jika gurauan dan sindiran kini boleh dijadikan alasan untuk mengugut seseorang, maka di manakah kebebasan bersuara di negara kita?
"Oleh itu, dalam kes ancaman terhadap keluarga Harith, Pemuda Pas perlu memahami keutamaan dan tidak mengaitkan undang-undang negara dengan kepentingan politik peribadi," tegasnya.
Sebagai rekod, polis sudah merakam keterangan Harith berhubung hantaran di akaun Facebooknya mengenai isu yang didakwa menghina agama Islam itu.
Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 298 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Comments