top of page

Jangan Guna Isu Perkauman Pertikai Akta Pembaharuan Semula Bandar

Updated: 7 hours ago



Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil


ULASAN: Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) telah bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) di bawah bidang kuasa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu YB Nga Kor Ming. Semangat asal penggubalan URA adalah menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.


Di ibukota Kuala Lumpur misalnya, sehingga kini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti 139 tapak bangunan terbiar dan tergendala. Oleh itu, penggubalan URA akan membantu pembaharuan bandar berlaku dengan lebih pantas memandangkan Malaysia ketinggalan beberapa dekad berbanding dengan negara lain.


Penggubalan akta tersebut juga akan membantu pembangunan negara memandangkan ia bakal menjana nilai pembangunan kasar berjumlah RM 355.5 bilion.


Ambang persetujuan baharu pemilik premis


Penggubalan URA bakal menyaksikan persetujuan sepenuhnya (100 peratus) daripada penduduk jika ingin membangunkan semula sebuah bangunan yang usang dan daif pada masa kini diubah kepada ambang persetujuan 80 peratus untuk bangunan yang berusia kurang dari 30 tahun dan 75 peratus untuk bangunan yang berusia lebih dari 30 tahun.

Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil

Malah penggubalan akta tersebut bakal memberi kuasa kepada KPKT untuk mewujudkan ambang persetujuan 51 peratus bagi bangunan yang tidak lagi selamat untuk didiami serta bangunan yang terbengkalai.


Namun usaha murni Kerajaan Madani melalui KPKT ini ditentang oleh Parti Islam Se-Malaysia (Pas) melalui Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Temerloh, Pahang pada September lalu atas alasan untuk mempertahankan kepentingan pemilikan ekuiti dan tanah orang Melayu.


Kerisauan tidak berasas


Kerisauan tidak berasas cuba dimainkan oleh Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim melibatkan penggubalan URA berkenaan didakwa akan berlaku penindasan terhadap kaum Melayu bandar.


Sepatutnya isu ini tidak berbangkit memandangkan KPKT telah membangunkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DPMMN), dasar tersebut menjamin golongan tidak berkemampuan terutama dalam kalangan bumiputera untuk mendapat Loan to Value (LTV) sehingga 110%.


Malah berasaskan corak perolehan perumahan (housing turnover) di Malaysia, didapati transaksi rumah berharga di bawah RM 250 000 adalah pada kadar 84.3% pada tahun 2016. Jumlah tersebut membuktikan bahawa pembeli rumah kali pertama terutama dalam kalangan bumiputera sentiasa ada tempat dalam pemilikan rumah untuk projek-projek perumahan baru di Malaysia.


Kerisauan seterusnya yang dibangkitkan adalah melibatkan isu pelanggaran hak milik dan penindasan kepada akta-akta sedia ada. Perlu difahami tujuan sebenar Menteri KPKT mengusulkan agar URA digubal adalah supaya tidak berlaku pelanggaran atau penindasan terhadap akta sedia ada, jika akta tersebut tidak digubal maka proses pembaharuan bandar di Malaysia akan terus perlahan dan sebarang langkah drastik untuk mempercepatkan proses tersebut akan bercanggah dengan URA yang belum digubal dan ditambahbaik.


Penggubalan URA juga akan melalui proses tambahbaik melalui libat urus peringkat kementerian dan perbahasan di Parlimen, justeru sebarang pelanggaran atau penindasan terhadap akta sedia ada pasti dapat diperbetulkan melalui proses tersebut.


Ekuiti Melayu berkurangan?


Kerisauan terakhir adalah melibatkan kesan sosial, Pas bimbang jika URA dibenarkan untuk digubal maka keberadaan dan pemilikan semasa hartanah dan ekuiti orang Melayu khususnya dalam kawasan bandar-bandar akan berkurangan.


Isu ini juga tidak berbangkit memandangkan setiap pembangunan perumahan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri telah diperuntukkan kuota jualan Bumiputera. Mengambil contoh Kerajaan Selangor yang telah membentangkan di dalam Dewan Undangan Negeri pada 2015 bahawa kuota jualan perumahan Bumiputera yang dikenakan kepada pemaju adalah di antara 30 peratus hingga 70 peratus berdasarkan garis panduan sedia ada dan kelulusan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Keadaan ini memastikan golongan Bumiputera akan sentiasa ada peruntukkan dalam projek-projek perumahan di kawasan bandar.


Seharusnya penggubalan URA yang sedang diusahakan oleh KPKT disokong penuh kerana ia bakal membantu mempercepatkan proses pembaharuan bandar di Malaysia, langkah menggunakan hujah perkauman bagi mengkritik penggubalan akta berkenaan dilihat usaha terdesak bagi meraih sokongan politik.


Jika benar ada kelompongan dalam usaha menambahbaik penggubalan URA maka Pas seharusnya membawa hujah secara konstruktif dan cadangkan pelan pembaharuan bandar yang lebih mampan.


________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page