
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan di atas kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan untuk mengadakan perhimpunan aman dengan menyebarkan fitnah dan penipuan.
Tegas Perdana Menteri perhimpunan yang mahu dianjurkan perlu mempunyai alasan munasabah dan membantu pihak polis dalam mengawal keselamatan dengan mengemukakan notis lebih awal.
"Sebab itu saya nak bagi ingatan, jangan guna kebebasan ini untuk menipu dan memfitnah apatah lagi atas nama orang Islam dan Melayu.
"Kita nak bangunkan orang Melayu, kamu hanya dengki dan hasad, sebenarnya penyakit mereka ini penyakit hasad dengki, tak boleh tengok orang senang dan projek yang baik.
"Sekarang umpamanya bila laksana projek, dia tak pernah pergi belah Kampung Kerinchi, flat Sri Perlis (di Cheras) dan sebagainya," kata beliau kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Singgah MADANI di rangkaian restoran nasi kandar Putrajaya hari ini.
Sebelum ini rancangan kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dimanipulasikan oleh pembangkang sebagai usaha untuk menyingkirkan orang Melayu dari bandar.
Pada Rabu lalu, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri mengumumkan bahawa pihaknya merancang mengadakan himpunan besar-besaran bagi membantah cadangan kerajaan itu.
Perdana Menteri mempersoalkan mengapa pembangkang ingin mengadakan perhimpunan atas isu pembangunan dan pemulihan bandar sedangkan "kita nak tolong penghuni-penghuni miskin, majoriti Melayu."
"Jadi kawasan itu kita nak bangunkan semula. Ini nak dibantah sebab apa?" katanya.
Anwar turut membidas pihak yang memainkan sentimen seolah-olah memperjuangkan hak orang Melayu dalam isu pembangunan bandar, namun tiada usaha dilaksanakan ketika mentadbir negara sebelum ini.
"Sejak bila kamu perjuangkan (hak Melayu), bila kamu perintah dahulu tak ada pun usaha membangunkan kawasan orang miskin, flat-flat lama, termasuk orang Melayu di bandar. (Ini) kita nak usahakan.
"Sebab itu saya nak beri peringatan jangan guna kebebasan ini (perhimpunan) untuk menipu, memfitnah apa lagi atas nama Islam dan Melayu," katanya.
Anwar berkata pembangunan semula bandar bertujuan memastikan masyarakat miskin tidak tersisih daripada arus pembangunan semasa.
"Ini tanggungjawab kita gunakan undang-undang ini untuk 'push' melaksanakan pembangunan semula," katanya.
Semalam Anwar sekali lagi menegaskan bahawa RUU itu akan terus diperjuangkan kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu di bandar.
Comments