top of page

DAP sebar sekularisme: Jangan bawa Malaysia kembali ke era 'amanat Haji Hadi'



Oleh: Akmal Manaf


Tulisan Presiden Pas Tan Sri Hadi Awang yang mengaitkan DAP dengan penyebaran fahaman liberalisme dan sekularisme dikecam Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali.


Dalam satu kenyataan hari ini, Sheikh Umar mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Marang itu berhasrat membawa rakyat Malaysia ke era 'amanat Haji Hadi' yang menyaksikan rakyat bermusuhan akibat momokan-momokan politik ekstrim dan memecah belahkan.


"Apakah yang cuba dilakukan Hj Hadi sebenarnya? Adakah Hj Hadi sedang cuba menyemai benih-benih perpecahan dan permusuhan dalam kehidupan rakyat Malaysia yang majmuk dengan pelbagai latar kaum, agama dan budaya?


"Saya tegaskan sekali lagi, DAP merupakan sebuah parti politik yang sah dan bergerak atas lunas-lunas perlembagaan Malaysia.


"Sekiranya Hj Hadi kekal dengan dakwa-dakwi melampau, saya sarankan supaya Hj Hadi cabar sahaja DAP mengikut saluran undang-undang agar DAP diharamkan, malangnya Hj Hadi tidak berani lakukan demikian, selain terus-menerus bermain sentimen semata-mata," bidas beliau lagi.


Dalam pada itu, Sheikh Umar berpendapat niat Hj Hadi adalah sekadar untuk kepentingan politiknya sendiri.


Beliau turut mempersoalkan lagi, adakah Hj Hadi dan Pas sendiri lupa bahawa mereka pernah bekerjasama dengan DAP semasa era Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat?


"Mengapa Hj Hadi bersifat selektif dalam hujah-hujah agamanya mengikut selera dan kepentingan sendiri?


"Sedarkah Hj Hadi bahawa DAP dan semua parti yang sah dalam politik negara ini telah bergerak di bawah kerangka Perlembagaan dan undang-undang yang sama termasuk Pas?


"Sedarkah Hj Hadi sewaktu Pas dan Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan juga, DAP tetap ada sebagai parti politik pembangkang yang sah?


"Mengapa ketika itu tidak ditimbulkan dakwaan seperti yang beliau keluarkan sekarang ini? Adakah Hj Hadi senyap ketika itu kerana Pas di tampuk kuasa?


"Jadi bila Pas dapat kuasa, semuanya ok. Ketika Pas tiada kuasa, semua parti yang lain adalah sekular, liberal, warisan penjajah dan komunis?" sindir beliau.


Semalam, menerusi sebuah portal berita, disiarkan kenyataan Abdul Hadi mengaitkan DAP dengan fahaman liberalisme dan sekularisme.


Dalam tulisan terbaharunya Hj Hadi berkata: "Teori yang sesat ini (liberalisme dan sekularisme) diimport oleh penjajah ke dalam negara kita pada zaman penjajahannya dan disambung oleh bala tenteranya, termasuk DAP yang mendominasi Pakatan Harapan (PH) hari ini.


"Sehinggakan, dimaktubkan dalam perlembagaan parti itu dan menjadi perjuangan yang disuarakan dengan lantang, lantas mencabar Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan."


Hujah itu, bagi pemimpin DAP tidak relevan memandangkan perlembagaan DAP tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak pula dipersoalkan Pas ketika parti itu berkerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif (1999 - 2000) dan Pakatan Rakyat (2008 - 2014).

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page