
Kementerian Pertahanan (Mindef) melalui Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memperkenalkan Inisiatif Program JanaVeteran.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, Inisiatif melibatkan kerjasama Boustead Plantations Berhad (BPlant) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ini merangkupi beberapa program yang menyasarkan manfaat kepada Veteran ATM yang telah bersara untuk menceburi bidang pertanian untuk menjana pendapatan.
Menurutnya, inisiatif itu yang telah dimulakan dengan projek perintis di Kota Tinggi, Johor juga merupakan langkah bagi membantu kerajaan memperkukuhkan aspek keterjaminan makanan negara.
"Melalui Program Tanaman Halia dan Cili Fertigasi, BPlant akan menyediakan plot fertigasi di atas tanah seluas 105 hektar kepada pesara tentera yang terpilih, yang mana 80 hektar adalah bagi penanaman halia dan baki 25 hektar penanaman cili.
"Untuk permulaan, program ini dijangka akan memberikan manfaat kepada seramai 100 veteran ATM sebagai usahawan yang akan menguruskan penanaman fertigasi halia dan cili menggunakan teknologi moden," katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan peluncuran Inisiatif Program JanaVeteran melibatkan Boustead Plantations Berhad (BPlant) di Kuala Lumpur semalam.
Turut diadakan ialah pra-peluncuran aplikasi “Perwira Super App” oleh Perwira Niaga Malaysia (Pernama) Network dan Mastercard International.
Aplikasi itu bagi kegunaan komuniti di bawah Mindef menggabungkan kecerdasan buatan (AI) untuk mempercepat transformasi masyarakat ke arah digital dengan ciri keselamatan canggih, cekap, selamat dan mesra pengguna.
"Aplikasi ini akan memberi manfaat kepada komuniti ketenteraan dalam bidang ekonomi dengan menjanjikan transformasi digital khusus kepada warga pertahanan dan veteran serta semua anak syarikat di bawah seliaan Mindef.
"Antara fungsi yang disediakan melalui aplikasi ini adalah Perkhidmatan Kewangan, E-Marketplace, diskaun eksklusif dan ganjaran kesetiaan, Government Connect Module, mengintegrasikan ciri kesihatan dan kesejahteraan serta hab e-Learning," jelas Mohamed Khaled seperti dilapor media.
Comments