Seorang pemimpin KEADILAN menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) lebih proaktif dalam memantau perkembangan ideologi sesat dan melampau menggunakan nama agama di negara ini.
Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, mereka yang berfahaman sempit dan fanatik itu ada ketikanya sanggup mengkafirkan orang lain.
Ideologi melampau seperti itu sekiranya dibiarkan tegasnya akan sukar dikawal dan menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
“Sekiranya indoktrinasi berterusan atas nama agama ini dilakukan akan membentuk pemikiran jumud. Seseorang itu akan menerima apa sahaja yang disogokkan dalam minda mereka dan tidak dibenarkan menerima pendapat orang lain.
"Lebih parah lagi apabila merasakan bahawa pendapatnya sahaja yang benar manakala pendapat orang lain adalah salah belaka," kata Timbalan Pengerusi Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN itu dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk serbuan pihak berkuasa polis terhadap premis GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain minggu memaklumkan melalui Op Global yang digerakkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berjaya diselamatkan dari kumpulan yang dikaitkan dengan pergerakan Al-Arqam yang telah diharamkan kerajaan.
Razarudin mendakwa antara modus operandi yang digunakan kumpulan itu antaranya menggunakan sentimen agama untuk meraih simpati bagi mendapatkan sumbangan.
Kanak-kanak diajar cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.
Turut berlaku pengabaian apabila mangsa sakit tidak dibenarkan mendapat rawatan hingga berada dalam kritikal selain penjaga rumah amal didakwa menggunakan objek dipanaskan untuk mencederakan mangsa sebagai hukuman atas kesalahan dilakukan.
"Mengapa keadaan ini boleh berlaku dan dibiarkan begitu lama? Adakah kerana sikap pengikut fanatik, taat membabi buta tanpa memahami kebenaran serta hakikat ilmu yang dipegangnya atau kerana kelemahan pihak JAKIM?
"Masyarakat perlu berhati-hati dalam menilai sesuatu pemikiran agar tidak terperangkap dengan fahaman Islam yang sempit," tambah Mohd Zawawi.
Comments