Oleh: Helmi Mohd Foad
Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerima permintaan tinggi daripada penternak kecil dan pemain industri makanan ternakan susulan kejayaan hasil tuaian pertama ladang jagung bijirinnya di Kuala Langat pada Ahad lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, maklum balas luar biasa yang diterima disebabkan harga jualan PKPS adalah lebih rendah berbanding harga jagung import.
"Memandangkan kos penghasilan perekar yang lebih rendah, PKPS memberi jaminan harga jualan yang ditawarkan adalah sekitar RM100 hingga RM250 per tan, lebih murah berbanding jagung import," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Khairil berkata PKPS akan mempercepatkan penanaman baki 258 ekar bagi memenuhi permintaan pasaran yang memberangsangkan.
Jelasnya Projek Jagung Bijirin PKPS adalah usahasama strategik antara kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi dana sekuriti makanan KKDW sejumlah RM4 juta.
"PKPS sebagai agensi pelaksana ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan negeri dan KKDW selaku penyumbang dana utama yang optimistik terhadap kebolehlaksanaan projek ini," katanya.
Tambah beliau KKDW juga telah bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM8 juta untuk pembangunan sebuah lagi ladang jagung bijirin atas tanah milik PKPS di Rawang seluas 100 ekar (40.4 hektar).
"Tuaian kedua untuk ladang jagung bijirin PKPS di Kuala Langat dijangka pada bulan April sebanyak 61 ekar (24.6 hektar) dengan unjuran tuaian sebanyak 152 tan," katanya.
Ahad lalu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim dipetik sebagai berkata hasil tuaian jagung bijirin di Selangor pertama mencatatkan sebanyak 118 tan melibatkan tanaman seluas 42 ekar di Kuala Langat Selatan.
Bermula Mac ini, fasa kedua penanaman akan bermula di atas tanah berkeluasan 100 ekar.
Jelas beliau penamaman jagung bijiran itu merupakan satu objektif utama program intervensi kerajaan iaitu menstabilkan harga ayam di Selangor.
"Insya-Allah, jika projek ini berjalan lancar, kita mampu mengurangkan sebanyak 30 peratus kebergantungan bekalan import jagung bijian dari luar negara seterusnya dapat menurunkan harga makanan ayam yang pastinya akan dapat mengurangkan kos kepada para penternak nanti," katanya.
Comments