Oleh: Akmal Manaf
Mahkamah Sesyen menetapkan 23 Januari depan sebagai tarikh keputusan hukuman membabitkan aktivis Iswardy Morni (gambar, tiga dari kanan) yang didapati bersalah di bawah Akta Hasutan 1948.
Menurut peguam yang dilantik Iswardy, Faizal Rahman, mahkamah menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar rayuan mitigasi daripada pihaknya dan rayuan pemberatan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPP).
Katanya, selepas perbicaraan penuh, pihak mahkamah telah mendapati anak guam (Iswardy) bersalah.
"Kita terima keputusan mahkamah. Tadi (anak guam) cuma didapati bersalah dan belum ada keputusan tentang apa bentuk hukuman.
"Peruntukan hukuman menetapkan sama ada denda atau penjara atau kedua-duanya sekali. Jadi mahkamah perlukan masa lagi untuk membuat satu keputusan.
"Tapi dalam masa sama, kita masih boleh tambah hujahan mitigasi sebelum mahkamah membuat keputusan," katanya ketika ditemui Suara Keadilan, di Mahkamah Jalan Duta, hari ini.
Dalam pada itu, Iswardy berkata beliau disiasat di bawah Akta Hasutan kerana bercakap tentang kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa itu dan menggesa supaya negara dibuka semula kerana Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan kehidupan rakyat ketika pandemik Covid 19 (2020 - 2021).
"Di samping kita ada PKP, kerajaan Muhyiddin Yassin telah melaksanakan darurat dan bagi saya itu sesuatu yang tidak adil bagi rakyat," katanya.
Untuk rekod, pada 1 Jun 2021 lalu Iswardy didakwa mengeluarkan kenyataan melalui Facebook dengan nama Iswardy Morni Official, dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Comments