Oleh: Akmal Manaf
Tindakan anggota Pas, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor membuat laporan polis berkaitan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke atas pembebasan Datuk Seri Najib Tun Razak, seolah-olah meletakkan dirinya mahu 'menempel' dalam isu berkenaan.
Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Haziq Azfar Ishak menzahirkan rasa pelik apabila Mohamad Ezam - yang kini membuat kemunculan semula bersama Pas - secara tiba-tiba menjadi pembela kepada mantan Presiden UMNO, Najib Razak itu.
"Kita tidak pernah pula mendengar perkara ini (bela Najib) sewaktu mereka (Pas) menjadi kerajaan.
"Itu tindakan menempel Ezam untuk mendapatkan 'crowd' baru (penyokong Najib), kemudian beliau nak merelevankan dirinya yang semakin tidak relevan.
"Isu ini bukannya tidak akan ada perkembangan atau cuba didiamkan oleh sesiapa, tetapi ia sudah dibawa ke mahkamah dan tertakluk kepada penilaian Mahkamah Rayuan pada bulan depan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat Ezam meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa 6 Januari depan, Mahkamah Rayuan akan mengeluarkan keputusan berkaitan isu berkenaan dan sehingga detik itu sebarang hal mengenai titah adendum tidak perlu diulas.
Dalam pada itu, Haziq berpendapat, dokumen yang diserahkan Mohd Ezam kepada pihak polis kononnya berkaitan pengampunan ke atas Najib mungkin merupakan sesuatu yang sudah beredar sebelum ini.
"Kita tak pasti pun kesahihan seperti didakwa Ezam. Beliau juga cakap kononnya Datuk Seri Anwar mengelak untuk menjawab.
"Isunya sekarang, sebarang jawapan yang dikeluarkan akan membawa kepada persoalan-persoalan lain yang mana ia tak akan ada kesudahannya.
"Sebab itu yang terbaik adalah tidak memberikan sebarang komen dan beri ruang kepada mahkamah.
"Lagipun sikit sahaja lagi masa (menunggu) untuk mahkamah membuat penilaian dalam isu berkenaan," katanya.
Semalam, Mohamad Ezam yang juga bekas Ahli Dewan Negara, mendakwa telah menerima beberapa dokumen berkaitan Lembaga Pengampunan melibatkan Najib pada 5 Disember lalu.
Mohamad Ezam berkata, dokumen itu diserahkan seseorang kepadanya ketika berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.
Menurut beliau, seperti dilapor, seluruh Jemaah Menteri dilihat secara sengaja mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan itu pada 29 Januari lalu, sedangkan keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa baginda seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Comments