
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyifatkan isu ketiadaan petugas kesihatan atas panggilan (on-call) di Klinik Kesihatan Kiulu, Sabah seperti yang tular di media sosial baru-baru ini sebagai tidak wajar berlaku.
Menerusi satu ciapan di laman X beliau menegaskan, pegawai yang bertugas perlu menjalankan amanah seperti diarahkan demi kemaslahatan awam.
"Ribuan terima kasih kerana membawa isu ini ke pengetahuan saya. Perkara ini tidak wajar berlaku," katanya.
Sebelum ini tular di platform media sosial, memaparkan papan makluman petugas atas panggilan di klinik kesihatan berkenaan yang memaklumkan tiada petugas kerana kekurangan staf, ditamatkan kontrak.
Pada papan makluman itu tertera tempoh ketiadaan petugas dari 23 hingga 29 Disember lalu.
Sehubungan itu menurut Dr Dzulkefly, pihaknya telah menempatkan Seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) tambahan untuk memastikan jadual atas panggilan di klinik berkenaan masih dapat digerakkan dan tidak terjejas.
Pada masa yang sama, staf yang bertugas atas panggilan (MO, jururawat dan pemandu) turut disokong oleh perkhidmatan kecemasan yang sentiasa boleh diakses melalui MERS999 sentiasa disediakan untuk mereka yang memerlukan.
Comments